suria

Tak salah membeli, guna saja 5 tip ini untuk elak terlebih berbelanja di bazar Ramadan... ‘selamat’ duit!

Amalkan tip yang disarankan agar tidak terlebih berbelanja di bazar Ramadan. -Gambar hiasan

PASTINYA rambang mata ketika melihat makanan beraneka rasa dan minuman pelbagai warna yang dijual di bazar Ramadan.

Ramai menganggap ketika Ramadan perbelanjaan dapat dijimatkan kerana hanya makan sehari sekali iaitu sewaktu berbuka puasa, tetapi tanggapan itu tidak selalunya benar.

Nafsu yang menguasai diri dan perut yang berkeroncong boleh menyebabkan seseorang itu berbelanja lebih dari kebiasaan apabila berkunjung ke bazar Ramadan.

Bazar Ramadan menjadi satu kemestian setiap kali tibanya bulan mulia ini. -Gambar hiasan

Oleh itu, apakah caranya untuk menahan diri daripada membeli sehingga berlaku pembaziran kerana pemikiran biasanya menjadi kurang rasional ketika kelaparan.

Majlis Keselamatan Negara Negeri Kedah ada berkongsikan beberapa tip yang boleh diamalkan orang ramai untuk lebih bijak berbelanja ketika di bazar Ramadan.

Perut yang lapar boleh menyebabkan seseorang itu berbelanja lebih dari yang sepatutnya. -Gambar hiasan

1) Senaraikan perbelanjaan

Sebelum pergi ke bazar, senaraikan dahulu juadah apa yang anda nak beli. Kebiasaannya, senarai memang ada dalam kepala, tetapi apabila sampai ke bazar, jadi bertambah-tambah pula!

Pastikan anda tahu apa yang anda nak beli dan jumlah juadah tersebut.

Kemudian, anda perlu 'patuh' kepada senarai itu dan jangan tambah yang lain, barulah boleh berjimat. Jika teringin dengan menu yang lain, anda boleh senaraikan untuk membelinya pada hari esok pula.

2) Bawa duit ikut keperluan

Apabila sudah ada senarai, pastikan anda bawa duit ikut keperluan. Jadi, tiada istilah terlebih berbelanja.

Contohnya, anda nak berbuka nasi kerabu, kuih dengan satu air bungkus. Mungkin harganya sekitar RM15, maka anda boleh bawa duit mengikut jumlah yang dianggarkan.

Berbelanja di bazar Ramadan mengikut lingkungan kemampuan diri. -Gambar hiasan

3) Jangan pergi dengan kawan

Ada kalanya pengaruh rakan-rakan juga boleh menjadi sebab kita terlebih berbelanja.

Contohnya, kita sudah selesai membeli makanan mengikut senarai. Tetapi tiba-tiba, terlihat pula kawan membeli makanan yang nampak sedap!

Secara tidak langsung, ini akan menimbulkan rasa teringin untuk merasai juadah itu dan membuatkan kita mahu berbelanja lebih. Jadi, lebih baik pergi seorang diri sahaja.

Jangan mudah tergoda dengan bermacam rupa hidangan makanan di bazar Ramadan. -Gambar hiasan

4) Jangan lama-lama di bazar

Kebiasaannya, berapa lama anda luangkan masa di bazar Ramadan? Sebaiknya, apabila selesai sahaja membeli makanan yang ada dalam senarai, anda perlu terus pulang.

Jangan pusing lama-lama, kerana bimbang jika ada juadah lain pula yang menarik perhatian anda.

5) Catat perbelanjaan

Akhir sekali, catat perbelanjaan yang sudah dikeluarkan untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadan.

Jika perbelanjaan anda mengikut bajet, maka anda bolehlah bergembira!

Tetapi sekiranya perbelanjaan anda sudah banyak yang terlebih, mungkin anda perlu kurangkan pula perbelanjaan untuk masa akan datang supaya masih boleh berjimat. - MKN Kedah

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain