suria

Buntu... bertahun wajah dipenuhi bintik hitam, ketahui 5 cara hilangkan melasma

Melasma disebabkan oleh sinaran matahari yang menyebabkan timbulnya tompok hitam pada wajah. - Gambar Sekadar Hiasan

MELASMA atau bintik hitam di muka membuatkan ramai wanita kurang yakin dengan penampilan mereka.

Ia disebabkan oleh banyak perkara termasuk pendedahan matahari yang berlebihan dan faktor genetik, sejarah penggunaan kosmetik dengan bahan berbahaya juga boleh menyebabkan masalah pigmentasi kulit ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajah kusam dan tak bermaya? Cuba 5 langkah penjagaan kulit ini

Melasma biasanya muncul di pipi, dahi, batang hidung, atas bibir dan dagu, bukan sahaja lokasinya menjadikan melasma sangat mengganggu penampilan, malah membuatkan wajah kelihatan kurang bersih walaupun telah memakai solekan.

Sebenarnya, melasma boleh dirawat walaupun ia memerlukan rawatan beransur-ansur dan gabungan ubat-ubatan.

Seperti yang dilaporkan, terapi melasma dilakukan untuk mengurangkan pengeluaran pigmen melanin, memperbaiki kulit disamping proses penjanaan semula sel.

Berikut merupakan lima cara merawat melasma melalui prosedur tertentu yang selamat, termasuk;

1. Perubatan topikal

Ubat topikal boleh digunakan sebagai pilihan untuk merawat melasma namun perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar dermatologi terlebih dahulu.

Ia datang dalam pelbagai bentuk termasuk krim, losyen dan gel yang mengandungi bahan seperti hidrokuinon dan tretinoin.

Bagaimanapun, kepekatan bahan yang digunakan mestilah disesuaikan dengan keadaan pesakit berdasarkan penilaian doktor.

Penggunaan bahan lain seperti asid azelaic, asid kojic dan bahan pencerah lain juga boleh digunakan untuk menghilangkan melasma.

2. Rawatan laser

Prosedur dermatologi seperti laser juga sering disyorkan untuk orang yang mempunyai masalah melasma.

Cahaya laser akan menyasarkan melanin dan memecahkan bintik-bintik gelap.

Bagaimanapun, kaedah rawatan ini mesti dijalankan oleh pakar dermatologi dengan diagnosis yang betul.

3. Pengelupasan kimia

Pengelupasan kimia adalah prosedur perubatan untuk mengurangkan melasma dengan penggunaan bahan kimia tertentu.

Tindakan ini mesti dilakukan oleh doktor yang berpotensi untuk mengetahui jenis kulit dan masalahnya.

Doktor akan sapukan cecair pada muka dan leher yang membuatkan lapisan kulit lama atau mati diganti dengan yang baru.

Antara cecair kimia yang digunakan contohnya asid glikolik, asid salisilik, asid laktik dan asid trichloroacetic.

4. Pil

Berdasarkan beberapa kajian terbaru, pengambilan ubat oral juga boleh membantu menghilangkan melasma.

Contohnya, ubat yang mengandungi asid traneksamik dan glutation.

Namun perlu ketahui, ubat-ubatan dengan ramuan ini mesti ditetapkan oleh pakar dermatologi dan mengikut keadaan pesakit.

5. Penjagaan kulit

Terdapat beberapa produk penjagaan kulit yang boleh membantu memudarkan bintik hitam dan merawat melasma.

Sebagai contoh, produk dengan ramuan vitamin C, niacinamide, retinol atau asid glikolik dengan fungsi masing-masing.

Kandungannya memang serupa dengan bahan yang digunakan dalam prosedur pengelupasan kimia tetapi kepekatannya lebih ringan.

Penggunaan pelindung matahari secara tetap juga merupakan cara yang ampuh untuk mencegah pembentukan melasma atau bintik-bintik gelap.

Sekurang-kurangnya, gunakan produk pelindung matahari dengan SPF minimum 30 dan PA++.

Melasma, viral, penyakit, kecantikan, mode

Artikel Lain