suria

'Dadah digital' - Jangan biarkan anak anda terjebak, pastikan guna gajet hanya 17 minit sehari!

Kanak-kanak sepatutnya didedahkan dengan aktiviti luar dan mendapat cukup cahaya matahari bagi mengelakkan implikasi serius terhadap mata mereka.

ZAMAN kanak-kanak zaman sekarang sangat berbeza dengan proses membesar generasi lampau berbelas-belas tahun lalu.

Perbezaan yang paling ketara adalah dari segi penggunaan peranti elektronik atau gajet. Jika dahulu kanak-kanak sering menghabiskan masa dengan bermain bersama rakan-rakan di luar rumah, namun tidak pada era ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mata anak Lan Solo, Sheila tak henti berkedip kerana gajet

ARTIKEL BERKAITAN: Jika 'dirampas' anak-anak ketagih gajet pasti mengamuk... apa kata cuba aplikasi ini 

Boleh dikatakan, hampir sebahagian besar kanak-kanak seawal usia dua tahun sudah memegang gajet, malah kebanyakan masa mereka dihabiskan untuk membelek peranti elektronik waima ketika sedang makan.

Tahukah anda, sebuah penyelidikan global merumuskan bahawa kanak-kanak tidak boleh didedahkan kepada peranti elektronik seperti tablet, telefon pintar atau televisyen selama lebih dua jam seminggu bagi mengelak implikasi serius terhadap mata mereka.

“Ini bermakna kanak-kanak hanya boleh dibenarkan untuk bermain peranti seperti itu kira-kira  17 minit setiap hari. 

"Pada Mac 2017, Kementerian Pendidikan memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa penggunaan peranti elektronik yang berpanjangan merupakan satu daripada penyumbang utama kepada kecacatan penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah.

Kanak-kanak tidak boleh didedahkan kepada peranti elektronik selama lebih dua jam seminggu bagi mengelak implikasi serius terhadap mata mereka.

“Pada tahun sama, sebanyak 6.3 peratus pelajar tahun satu  mengalami kecacatan penglihatan manakala pelajar tahun enam pula 4.1 peratus, dan pelajar di tingkatan tiga mencatat 2.7 peratus,” kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Menurut beliau, kanak-kanak seharusnya didedahkan kepada aktiviti luar dan mendapat cukup cahaya matahari serta menikmati keindahan alam semula jadi.

“Sekiranya masalah ketagihan gajet tidak segera diselesaikan, saya bimbang ia bukan sahaja akan merosakkan penglihatan pelajar tetapi akan turut mengakibatkan masalah sosial yang lain seperti pornografi dan buli siber,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga merangkap Pengerusi MCPF menyuarakan kebimbangannya berhubung ketagihan gajet dalam kalangan masyarakat, dengan kanak-kanak di usia seawal dua hingga tiga tahun telah mula bermain gajet atau peranti digital.

Ibu bapa wajar mengambil peranan penting dengan menghadkan penggunaan gajet terhadap anak-anak mereka.

Beliau dipetik sebagai berkata masalah ‘dadah digital’ berlaku apabila seseorang individu itu menghabiskan masa lebih daripada empat jam menggunakan Internet untuk sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran.

Untuk rekod, Kajian Pengguna Internet 2018 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  (SKMM) merumuskan purata tempoh melayari Internet di Malaysia adalah 6.6 jam sehari, dengan 93.1 peratus pengguna mengaksesnya melalui telefon pintar.

Justeru itu, ibu bapa wajar memainkan peranan penting dalam menentukan perkembangan dan kesihatan fizikal mahupun mental anak anda. Usah biarkan anak anda menjadi mangsa ‘dadah digital’ pada awal usianya.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.  

gajet, dadah digital

Artikel Lain