suria

Mat Yo dipancing Bangkok Glass

Mat Yo sah menyertai Bangkok Glass selama setahun.

TEKA-teki berhubung masa depan penyerang veteran kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha akhirnya terjawab, selepas beliau sah menyertai juara Liga Dua Thailand 2019, Bangkok Glass Pathum United, dengan kontrak setahun.

Ejen kepada pemain berkenaan, Abdul Halim Abdul Shukor yang merupakan Pengarah Urusan Offside Sports memaklumkan, bekas penyerang Pahang itu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Mat Yo’, akan berlepas ke Bangkok pada Rabu, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada hari Khamis, sebelum menandatangani kontrak bersama pasukan berkenaan pada Jumaat ini.

“Beberapa bulan lalu, mereka ada mencari pemain ASEAN, dan saya cadangkan nama Mat Yo, kerana saya percaya keupayaan teknikal dia yang boleh bermain di Liga Thailand. Pasti akan lebih ramai pemain Malaysia ke sana (Liga Thai) selepas ini, kerana keupayaan pemain di sini  yang semakin meningkat.

“Kemasukan pemain import berkualiti di dalam Liga Malaysia secara tidak langsung sebenarnya, membantu pemain tempatan meningkatkan tahap kualiti teknikal mereka, ke arah lebih baik setanding dengan liga luar termasuk Thailand,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia pada Selasa.

Mengulas lanjut, Abdul Halim yakin penyerang kelahiran Besut, Terengganu itu, mampu mengekalkan prestasi konsisten bersama pasukan berkenaan, walaupun bakal mencecah usia 34 tahun pada Jun nanti.

 “Apabila saya mencadangkan nama Norshahrul, saya tidak lihat pada umurnya, tetapi saya yakin dia boleh beraksi selama dua ke tiga musim lagi, kerana bakatnya masih ada selaku penyerang yang baik.

“Semuanya bergantung kepada diri sendiri dalam soal penjagaan kecergasan, termasuk pemakanan serta semua perkara, di Jepun pun ada pemain boleh kekal beraksi sehingga umur 51 tahun, jadi saya rasa tiada masalah,” jelas Abdul Halim.

Pahang sebelum ini mengambil keputusan melepaskan Norshahrul bersama beberapa pemain lain termasuk Mohd Afif Amiruddin, R. Kogileswaran, A Salomon Raj, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Muhammad Zubir Mohd Azmi.

Norshahrul sebelum ini pernah beraksi dengan beberapa pasukan termasuk Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia dan Johor Darul Ta’zim.

Penglibatan pemain Malaysia dalam Liga Thailand bukanlah perkara baharu, kerana dua pemain kebangsaan iaitu, Dominic Tan dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, selain pemain kacukan Australia-Malaysia Curran Singh Ferns, pernah beraksi dengan kelab di negara jiran itu.

Muhammad Shahrel pernah beraksi bersama kelab Nakhon Ratchasima secara pinjaman dari PKNP FC pada 2018, manakala Curran pula pernah mewakili kelab Sukhothai FC pada 2018 dan 2019.

Tan yang menyertai Trat FC secara pinjaman dari JDT pada musim lepas, sah mengikat kontrak selama dua musim sehingga 2021 dengan kelab Police Tero FC. - BERNAMA

Mat Yo, Bangkok Glass

Artikel Lain