suria

"Saya tidak pecat LTK, PPBN akan diteruskan"

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil memberi penjelasan mengenai kedudukan terkini Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim (LTK).

Teong Kim yang juga merupakan ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun negara dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas tersingkir daripada saingan kumpulan Piala AFC (B-16) Khamis lalu.

Syed Saddiq memberitahu, beliau juga bertanggungjawab ke atas pembangunan semua sukan yang lain.

"Ada kalanya, keputusan yang sukar perlu dibuat demi pembangunan sukan negara secara keseluruhan.

"Saya tidak memecat LTK dan PPBN akan diteruskan.

"Saya ingin ulang sekali lagi seperti apa yang saya katakan dalam kenyataan akhbar berkenaan hala tuju PPBN selepas kegagalan skuad negara dalam melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun di Peru tahun hadapan.

"Selepas sahaja perlawanan tersebut, pihak FAM telah memecat LTK sebagai jurulatih Skuad Bawah 16 Tahun Kebangsaan. Ini tiada kaitan dengan PPBN dan beliau masih merupakan Pengarah Akademi Bolasepak Negara yang sah di bawah PPBN sehingga kini," jelasnya dalam satu kenyataan kepada media pada Sabtu.

Jelas Syed Saddiq, beliau tidak  boleh lari dari realiti PPBN yang menghadapi situasi kewangan yang sangat teruk pada waktu ini.


"Dana khas dari Kerajaan Terdahulu yang dijanjikan sebanyak RM20juta setahun tidak turun seperti yang dijanjikan sejak tahun pertama PPBN dilancarkan (2014).

"Akibat dari masalah ini, MSN (Majlis Sukan Negara) hari ini terpaksa menggunakan dana mereka sendiri yang diambil dari peruntukan untuk keperluan lain bagi menanggung perbelanjaan PPBN.

"MSN bertanggungjawab untuk membangunkan semua sukan, tetapi kerana dana yang dijanjikan kerajaan terdahulu tidak diturunkan, dana MSN terpaksa digunakan.

"Dari RM20 juta yang dijanjikan setiap tahun diberi oleh kerajaan terdahulu, akhirnya pada tahun 2016 dan 2017,  kita hanya terima RM3.5 juta setiap tahun," jelasnya.

Mengenai kaji LTK yang dikatakan perlu dinilai semula, Syed Saddiq memberitahu beliau tidak bermaksud untuk  persoalkan kelayakan bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu.

"Rakyat perlu maklum bahawa sebelum ini 80 peratus daripada gaji beliau dibayar oleh penaja tetapi semenjak dua tahun lepas, MSN menanggung kesemua pembayaran tersebut selepas penaja menarik diri. Tanggungjawab MSN kepada sukan lain akan turut terjejas.

"Saya juga mahukan LTK terus menerajui PPBN dengan kepakaran yang beliau ada, tetapi situasi kewangan yang ada pada MSN ketika ini tidak mampu untuk menanggung pakej yang sama.

"Jadi saya harap perbincangan dengan beliau bakal menemukan titik tengah yang menguntungkan kedua-dua belah pihak demi masa depan bola negara.

"Penilaian semula melalui jawatankuasa seperti yang saya katakan adalah bukan sahaja terhadap gaji pengurusan PPBN, tetapi ia akan merangkumi semua aspek dalam program tersebut pengurusan, pertandingan, perbelanjaan alatan dan paling penting, atlet muda kita," tambah Syed Saddiq.

Dalam masa sama, Syed Saddiq mahu peruntukan terhad yang diberi pada MSN perlu digunakan secara adil untuk pembangunan sukan di Malaysia.

"Ini termasuk sukan berprestasi tinggi yang lain yang juga memerlukan bantuan peruntukan dari pihak kerajaan. Sebagai contoh, semalam (Jumaat) sewaktu saya bersama kontinjen Paralimpik yang akan ke Sukan Asia, mereka menerima RM300 ribu untuk menampung perbelanjaan ke sana.

"Saya rasa sedih sebab ini tajaan bagi satu kontinjen besar, bukan satu pasukan atau satu sukan sahaja.

"Kalau boleh saya nak bantu mereka semua dengan adil. Saya berterima kasih kepada penaja-penaja yang sudi membantu kontinjen Paralimpik negara ke Sukan Asia," ujarnya.

Selain itu, Syed Saddiq berkata, beliau juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengambil kira keperluan peruntukan yang sesuai dan munasabah bagi terus membantu membangunkan bolasepak di peringkat pembangunan dan akar umbi ini bagi memastikan kecemerlangan bakat dan martabat bola sepak negara di masa hadapan.

"Kita perlukan lebih penglibatan daripada sektor korporat dalam pembangunan sukan negara. Dan ini bukan sahaja hanya tertumpu pada bola sepak malah dalam sukan-sukan yang lain juga. Paling penting, atlet muda kita semua dijaga dan tidak terabai masa depan mereka.

"Dalam proses penilaian semula PPBN, saya dengan rasa takzim ingin menjemput para peminat untuk sama-sama menyumbangkan idea bagi menambah baik program pembangunan akar umbi ini.

"Saya perlukan anda semua bantu dalam proses ini," katanya.

PPBN, Syed Saddiq, Teong Kim

Artikel Berikut

Artikel Lain