suria

Terbuka Taiwan: Chong Wei Jumpa Chen Long Di Suku Akhir

Datuk Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR: Usaha jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong mengejar gelaran ketiga selepas bebas daripada penggantungan pada Mei lalu, berdepan laluan sukar apabila perlu menentang pemain nombor satu dunia, Chen Long di suku akhir Terbuka Taiwan, JUmaat.

Chong Wei menewaskan pemain pilihan keenam, Wang Zhengming 21-10, 21-15 dalam aksi selama 34 minit di Taipei Arena pada Khamis untuk menempah pertemuan dengan Chen Long yang juga pilihan pertama yang mara selepas menundukkan wakil tuan rumah, Hsu Jen Hao 21-16, 21-2.

Pemain berasal dari Bukit Mertajam itu sebelum ini menjuarai Terbuka Kanada dan Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat baru-baru ini dalam misi memperbaiki ranking dunianya selain mahu mengumpul sebanyak mungkin mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro tahun depan.

Chong Wei yang kini menduduki ranking ke-65 digantung lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kes doping sewaktu Kejohanan Dunia di Copenhagen tahun lalu.

Sementara itu, cabaran beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei berakhir di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Go Ah Ra/Yoo Hae Won 16-21, 16-21.

Nasib sama dialami beregu lelaki negara apabila laluan Goh V Shem/Tan Wee Kiong serta Mak Hee Chun/Teo Kok Siang tersekat di pusingan kedua.

Goh/Tan kalah kepada pasangan Indonesia, Angga Pratama/Ricky Karanda Suwardi 12-21, 21-13, 15-21 manakala Mak/Teo pula mudah ditundukkan beregu pilihan kelima, Fu Haifeng/Zhang Nan dari China 12-21, 8-21.

Artikel Lain