suria

Malaysia Mara Ke Perlawanan Akhir Siri Super ISTAF Malaysia 2013/2014

KOTA KINABALU: Malaysia mara ke perlawanan akhir Siri Super Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Malaysia 2013/2014 selepas mengalahkan Jepun 3-0 pada peringkat separuh akhir di Kompleks Sukan Likas, Ahad.

Pada perlawanan akhir yang dijadualkan petang ini, Malaysia akan bertemu Thailand yang mudah menundukkan Indonesia juga 3-0 dalam satu lagi perlawanan peringkat separuh akhir, Ahad.

Dalam perlawanan set pertama memburu tempat di peringkat akhir pagi ini, Malaysia yang menurunkan tekong utama Noor Azman Hamid dan dua pengapitnya Syazreen Qamar Salehan dan Hanafiah Dollah mendapat tentangan hebat daripada regu negara Matahari Terbit itu.

Dari awal permainan, Jepun yang menurunkan Hiroki Takahashi sebagai tekong dan pengapitnya Tsubasa Sato dan Masanori Hayashi, kedua-kedua regu saling berkejar dalam pungutan mata sehingga sukar meramalkan siapa bakal memenangi set berkenaan.

Bagaimanapun, permainan Malaysia yang kemas berjaya menjarakkan dirinya dari segi pungutan mata pada mata ke-13 dengan meninggalkan regu Jepun dua mata di belakang dan akhirnya menamatkan permainan dengan kemenangan 15-11.

Persaingan pada set kedua lebih menarik apabila kedua-dua pasukan saling bersaing dalam pungutan mata dari awal permainan sehingga beberapa kali terikat pada mata yang sama seperti 3-3, 4-4, 5-5, 7-7 dan 8-8.

Bagaimanapun, dalam perlawanan peringkat separuh akhir yang mengggunakan sistem Terbaik Daripada Lima, Malaysia mula mengorak langkah agresif selepas mata ke-8 dengan memperoleh tujuh mata berturut-turut sebelum menamatkan set kedua dengan kemenangan 15-8.

Dalam set ketiga, permainan Malaysia kian kemas dengan setiap pemain mempamerkankan persembahan cemerlang dengan tidak memberi ruang mudah kepada Jepun untuk mengutip mata sejak awal permainan.

Meninggalkan Jepun dengan 4-2 pada awal permainan, Malaysia terus mengorak langkah mengaut pungutan mata melalui kombinasi libasan, servis serta tampanan kemas yang sukar diatasi regu Jepun yang seolah-olah sudah tidak bermaya.

Akhirnya Malaysia memastikan tempatnya ke akhir menumpaskan Jepun 15-2 dalam perlawanan set ketiga. - BERNAMA

Artikel Lain