suria

Kurang Fokus Punca Penyu Dihukum Lions Di Laman Sendiri

KUALA TERENGGANU: Kurang fokus dan gagal memanfaatkan peluang antara faktor skuad Terengganu dimalukan 0-1 oleh pendahulu liga, Lions XII dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam Rabu.

Jaringan pada masa kecederaan itu nyata mengejutkan dan tidak disenangi oleh ketua jurulatih Terengganu Peter James Butler di mana anak buahnya sebelum itu berjaya mengawal permainan namun menerima padah setelah leka hingga gagal memungut satu mata (jika seri) sehingga tamat permainan.

Katanya barisan pertahanan sedikit longgar pada masa kecederaan empat minit yang diperoleh dan kealpaan itulah memberi ruang buat pasukan lawan mencuri peluang pada penghujung permainan.

"Kami berjaya mengawal perlawanan... sepatutnya kami tidak berhak untuk kehilangan tiga mata penuh," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam Selasa.

Beliau berkata semua pemain menunjukkan prestasi yang hebat sepanjang 90 minit perlawanan namun segalanya berubah pada masa kecederaan iaitu kurang fokus menyebabkan skuad bimbingannya sukar untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas liga.

Pemain gantian Lions XII, Sufian Anuar muncul wira setelah berjaya menewaskan penjaga gol skuad Penyu Mohd Sharbinee Alawee pada masa kecederaan.

Dengan kemenangan itu, Singapura mengekalkan mendahului tangga teratas liga dengan mengumpul 50 mata manakala pasukan Kelantan ditangga kedua dengan 44 mata.

Sementara itu, jurulatih Lions, V. Sundramoorthy berkata pasukannya bernasib baik untuk menjarakkan diri dan berjaya mengumpul tiga lagi mata berharga.

"Pasukan Penyu adalah lawan yang amat sukar... kami terpaksa memikir cara menyerang dan menahan serangan mereka," katanya.

Bagaimanapun, Sundramoorthy mengakui skuad Penyu kini adalah sebuah pasukan yang makin mantap dengan bimbingan jurulatih baru dari England yang juga bekas jurulatih pasukan Kelantan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain