suria

Persembahan Hambar Skuad Bolasepak Negara Merisaukan

JAKARTA: Persembahan hambar skuad bolasepak Malaysia pada perlawanan sulung mereka menentang Singapura petang Isnin telah mencetuskan keresahan sama ada Malaysia akan dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya Sukan SEA kali ini.

Wartawan Kanan Sukan The Star, Eric Samuel yang membuat liputan perlawanan semalam telah menyifatkan persembahan skuad kebangsaan sebagai hambar, tiada ledakan, tiada 'deria membunuh', hilang kawalan dan yang paling teruk, tiada sengatan langsung.

Perlawanan yang berlangsung di Senayan itu menurut Eric hanya disaksikan oleh lebih kurang 300 orang penonton.

Tulis Eric lagi, kedua-dua pasukan kelihatan seperti sekadar berpuashati untuk mencapai keputusan seri tanpa jaringan itu.

Malaysia yang diundi untuk berada dalam kumpulan 'maut' yang terdiri daripada juara 13 kali iaitu Thailand, tuan rumah Indonesia dan juga Kemboja perlu melakukan sesuatu jika ingin melepasi peringkat kumpulan dan hakikat ini diakui oleh jurulatih, Ong Kim Swee.

Dalam perlawanan semalam, Kim Swee telah menurunkan empat pemain yang beraksi pada perlawanan akhir Sukan SEA 2009 di Laos iaitu Baddrol Bakhtiar, Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas dan Mohd Asraruddin Putra Omar tetapi keempat-empat mereka gagal mengemudi skuad Bawah 23 Tahun ini ke tahap yang diharap-harapkan.

Dalam satu lagi perlawanan, Indonesia menumpaskan Kemboja 6-0 manakala dalam Kumpulan B pula, Timor Leste menumpaskan Filipina 2-1 dan Laos sekadar seri 2-2 dengan Brunei.

Esok dalam perlawanan Kumpulan A, Malaysia akan turun menentang Thailand pada jam 5 petang (waktu Malaysia) sementara Singapura pula menentang Kemboja pada jam 8 malam.

Artikel Lain