suria

Sukan Universiade 2011 Tutup Tirai

SHENZHEN: Selepas 10,000 atlet mahasiswa dari seluruh dunia bertarung tenaga dan memerah kudrat selama 12 hari, bandaraya Shenzhen melabuhkan tirai Sukan Universiti Dunia 2011 (Universiade) di sini malam Selasa.

Ribuan penonton membanjiri Taman Tema "Window of the World" untuk menyaksikan majlis penutupan sukan edisi ke-26 yang menampilakan persembahan kebudayaan tempatan.

Majlis bermula dengan persembahan tarian berjudul "The Gathering' yang melambangkan perpaduan dunia sejagat dengan 152 penari memakai pakaian sukan 152 negara yang mengambil bahagian dalam 22 acara yang dipertandingkan.

Tarian pembukaan itu disusuli dengan persembahan kebudayaan berjudul "Pursuing a Dream" membabitkan tarian pelbagai kaum di negara ini termasuk persembahan seni mempertahankan diri, akrobatik dan juga opera Cina.

Selepas persembahan tarian dan kebudayaan, majlis disusuli dengan acara lintas lalu barisan kontinjen negara bertanding.

Kontinjen Malaysia seramai 180 atlet dan pegawai dengan berpakaian 'Harimau Malaya' memasuki taman tema itu dengan diketuai oleh chef-de-mission Prof Dr Shaharudin Abd Aziz.

Malaysia mencipta pencapaian terbaik dalam sejarah sukan dwitahunan anjuran Persekutuan Sukan Universiti Dunia (FISU) itu dengan sebutir perak dan dua gangsa.

Kesemua pingat kontinjen negara disumbangkan oleh skuad terjun wanita iaitu pingat perak menerusi Pandelela Rinong dalam acara 10m platform wanita, Pandelela dan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform segerak berpasangan serta satu lagi gangsa dalam acara berpasukan.

Pencapaian itu membolehkan Malaysia menduduki tangga ke-48 daripada 152 negara.

Pada edisi 2005 di Izmir, Turki dan 2007 di Bangkok, Thailand, Malaysia hanya membawa pulang sebutir gangsa menerusi acara taekwondo.

Kemudian acara kemuncak majlis penutupan ialah penyerahan bendera FISU, bendera Universiade dan obor sukan kepada bandaraya Kahazan, Russia, selaku tuan rumah bagi edisi 2013.

Sukan Universiade kali ini menyaksikan kontinjen tuan rumah, China, dengan mudah muncul juara keseluruhan pungutan pingat dengan merekodkan 75 emas,39 perak dan 31 gangsa.

Russia menduduki tangga kedua dengan carta pungutan pingat dengan 42 emas, 44 perak dan 45 gangsa diikuti Korea Selatan dengan catatan 27-20-30.

Kontinjen Thailand muncul sebagai pasukan terbaik di kalangan negara ASEA Ndengan menduduki tempat kelapan dengan tujuh emas, dua perak dan sembilan gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain