suria

Skuad Olimpik Perlu Lebih Yakin Di Atas Padang

KUALA LUMPUR: Walaupun Skuad Olimpik Negara telah menunjukkan kematangan daripada segi pencapaian semasa cuma keyakinan di atas padang perlu ditingkatkan sekiranya mahu menang di halaman sendiri pada perlawanan kedua pusingan kedua timbal balik yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis ini (23 Jun).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata usaha anak buah bimbingan Ong Kim Swee, yang mengikat seri tanpa jaringan menentang tuan rumah Lubnan di Beirut yang ditunjukkan lewat malam tadi, diharapkan akan membuahkan hasil berkelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri.

"Saya lihat pasukan kita bersifat defensif pada babak awal, tapi mereka mula mengatur serangan dan main dengan penuh semangat pada separuh masa kedua dan memastikan pertahanan kukuh sehingga tidak berjaya ditembusi oleh Lubnan.

"Walaupun tidak berjaya menyumbat sebarang gol tetapi saya harap kematangan mereka akan menunjukkan kesungguhan pada perlawanan di tempat sendiri nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan itu yang diadakan di skrin besar bersama sekitar 1,000 penonton di Dataran Merdeka di sini lewat malam tadi.

Turut hadir Ketua Setiausaha KBS Datuk Mohid Mohamed.

Ahmad Shabery berkata walaupun Malaysia tewas kedua-dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Qatar namun ia bukanlah kayu ukur yang sebenarnya.

"Tidak semestinya sekiranya tewas kita tidak mampu untuk bangkit bersaing. Mereka (pemain) telah mengambil pengajaran di atas kekalahan perlawanan itu untuk perbaiki dan membuat persediaan sewajarnya," katanya.

Pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja, skuad Olimpik dikejutkan dengan kekalahan 0-1 pada 7 Jun lalu dan terus dirundung malang apabila tewas 0-4 ketika menentang Qatar selang enam hari kemudian (13 Jun).

Pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 London malam tadi, Malaysia dan Lubnan terikat seri tanpa jaringan 0-0.

Terdahulu skuad Olimpik kebangsaan menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0 untuk melangkah ke pusingan kedua tersebut.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain