suria

144 Pemain Sertai Kejohanan Jemputan Masters NS Bulan Depan

SEREMBAN: Seramai 144 pemain profesional termasuk 59 pemain tempatan akan menyertai Kejohanan Jemputan Golf Masters Negeri Sembilan 2011 di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) di sini, bulan depan.

Pengarah kejohanan Datuk Mohd Yaacob Mohd Kassim berkata kejohanan edisi ketujuh itu menawarkan hadiah berjumlah RM500,000, iaitu hadiah paling lumayan dalam kalendar Jelajah PGA ASEAN.

"Seramai 60 pemain utama Jelajah PGA ASEAN akan mengambil bahagian kali ini termasuk pemain terbaik musim lalu, Juvic Pangunsan dari Filipina," katanya dalam sidang akhbar di sini Khamis.

Selain Juvic, katanya, juara bertahan S. Sivachandran, pemain tempatan pertama menjuarai kejohanan itu sejak diperkenalkan pada 2005, akan turut berentap pada kejohanan itu dari 7 hingga 10 Julai ini.

Mohd Yaacob, yang juga Kapten SIGC, berkata cabaran tempatan akan digalas oleh antara lain pemain profesional negara Danny Chia, Nicholas Fung dan Akhmal Tarmizee Mohd Nazari.

Katanya saingan pada edisi kali ini dijangka lebih sengit dengan kehadiran ramai pemain handalan dalam siri Jelajah PGA ASEAN serta memberi peluang kepada pemain muda tempatan menunjukan bakat masing-masing di peringkat tinggi.

Menurutnya kejohanan kali ini dijangka mendapat liputan lebih meluas dengan saluran ESPN Star Sports akan menyiarkan detik-detik penting kejohanan itu selama sejam.

Katanya selain peminat golf di rantau ini dapat menyaksikan aksi kemuncak menerusi saluran ESPN Star Sports itu, siaran itu juga dapat memberi lebih banyak pendedahan kepada Negeri Sembilan sebagai destinasi sukan golf dan pelancongan.

KL Metro Group menjadi penaja utama manakala Salcon Engineering Bhd sebagai penaja bersama kejohanan itu yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri. - BERNAMA

Artikel Lain