suria

Skuad Silambam Sabah Tampil Tanpa Atlet Kaum India

KUALA LUMPUR: Skuad silambam Sabah menampilkan keunikan tersendiri apabila menyenaraikan atlet pelbagai kaum kecuali India pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 yang sedang berlangsung.

Meskipun begitu, pengurus pasukan S. Sunderaju Naidu berkata beliau tetap yakin dengan anak didiknya kerana mereka mempunyai semangat dan displin yang luar biasa.

"Kebanyakan daripada atlet kami terdiri daripada suku kaum Murut,Kadazandusun dan Melayu Brunei, namun mereka amat meminati keunikan seni bela diri kaum India ini," katanya, Jumaat.

Sunderaju berkata beliau yakin empat atlet terbaiknya Mohd Nizam Jamal (kategori lelaki 30-37kg), Zaidi Lintung (kategori lelaki 66-75kg), Marangina Karani (kategori wanita 30-35kg) dan Percella Kabing (kategori wanita 56-65kg) mampu menyumbang sekurang-kurangnya tiga pingat emas.

"Walaupun masih terlalu awal untuk membuat ramalan, berdasarkan displin setiap atlet saya yakin skuad Negeri Di Bawah Bayu ini mampu bawa pulang pingat emas kali ini," katanya.

Sunderaju berkata ini adalah kali kedua atletnya menyertai Sukma dan pada penyertaan pertama di Melaka tahun lepas, skuad silambam Sabah berjaya mengutip satu pingat perak dan lima gangsa.

Katanya acara seni mempertahankan diri itu diperkenalkan kepada masyarakat Sabah sejak 2006 dan mendapat sambutan menggalakkan.

Acara silambam membuka gelanggangnya di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini hari ini, yang menyaksikan peserta paling muda skuad Sabah, Marangina, 16, mendapat 14.1 mata, manakala rakan sepasukan Mohd Nizam Jamal mendapat 11.6 mata untuk layak ke peringkat acara tempur (sparring) petang ini.-BERNAMA

Artikel Lain