suria

Tiga Atlet Dinasihat Segera Serah Sampel Untuk Ujian Anti-Doping

MELAKA: Tiga atlet pecut negara yang kini berada di Bulgaria selepas mengelak daripada menjalani ujian anti-doping bulan lepas, dinasihatkan segera menyerahkan sampel untuk ujian itu atau pulang ke Malaysia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata pihak yang terlibat perlu mencari atlet itu dengan segera dan memastikan mereka menyerahkan sampel ujian itu dan mendapatkan cerita sebenar disebalik pemergian mereka ke Bulgaria.

"Kita tidak mahu lahirkan jaguh dengan cara yang tidak betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejuaraan Silat Remaja Kebangsaan Ke-7 dan Festival Silat Seni Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Bukit Serindit di sini, malam semalam.

Turut hadir Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka.

Razali berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa sehebat manapun seseorang atlet, jika didapati bersalah menggunakan bahan terlarang, atlet itu perlu disingkirkan.

Katanya keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tidak membayar kos latihan tiga atlet itu di Bulgaria adalah satu tindakan yang adil kerana atlet itu tiada dalam senarai yang diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa bersama Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia-MSN sebelum ini.

Pada 24 Mei lepas, enam atlet kebangsaan Siti Fatimah Mohamad, Siti Zubaidah Adabi, Yee Yi Leng, Nurul Sarah Abdul Kadir, Norjanah Hafizah Jamaluddin dan Mohd Noor Imran menghilangkan diri ketika diminta menjalani ujian anti-doping di Institut Sukan Negara.

Dua hari selepas itu Siti Fatimah, Siti Zubaidah dan Yee 'menyerah diri' serta menjalani ujian itu dan disahkan negatif daripada menggunakan bahan terlarang, bagaimanapun MSN memutuskan untuk tidak menghantar tiga pelari pecut wanita mengikuti latihan di Bulgaria berdasarkan kewajaran kos.

Mengenai cadangan penganjuran Perhimpunan Sejuta Pesilat di Melaka, Razali berkata kementerian itu sedia bekerjasama dengan Pesaka dan Kerajaan Negeri Melaka untuk menganjurkan perhimpunan itu.

Beliau berkata perhimpunan itu sesuai diadakan di bawah aktiviti Rakan Wajadiri yang merupakan satu daripada cabang Rakan Muda dan perhimpunan itu dilihat sebagai satu titik permulaan membawa Rakan Wajadiri ke tahap yang lebih tinggi.

"Pertama kita perlu wujudkan sekretariat untuk duduk berbincang apa yang kita perlu laksanakan dengan segera, kita harap boleh laksanakan dalam masa terdekat (perhimpunan itu)," katanya.

Mohd Ali berkata Pesaka yang kini mempunyai lebih tiga juta anggota dan 441 perguruan silat sedang mengemas kini pangkalan data keanggotaannya dan menurutnya perhimpunan itu dijangka dianjurkan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Katanya Pesaka juga memutuskan untuk menganjurkan dua festival silat setiap tahun, satu peringkat DMDI pada Jun dan satu lagi peringkat kebangsaan pada Ogos.

"Dua festival ini diharap dapat mengumpul semua pesilat seluruh Malaysia dan negara DMDI untuk berjumpa baik daripada segi berkongsi pengetahuan dunia persilatan, eratkan perahabatan dan pentadbiran, memastikan silat dipertahankan untuk anak cucu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain