suria

Bryan Nickson Lomas Dan Chai Fong Ying Olahragawan Dan Olahragawati Masum 2010

KOTA KINABALU: Atlet terjun negara Bryan Nickson Lomas dari Universiti Malaya (UM) dan atlet wushu Chai Fong Ying dari Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2010 di sini malam Sabtu.

Anugerah Bintang Harapan pula diberikan kepada Uriel Yu En French, atlet karate-do dari UPM dan Noor Atika Md Radzi, atlet bola jaring dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anugerah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Semasa berucap, beliau berkata dua fokus baru dalam bidang sukan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti untuk dibangunkan agar dapat menyumbang dan memberi impak positif kepada negara.

"Pertamanya, kita perlu melihat dan mengkaji bagaimana penglibatan para pelajar IPT serta golongan mahasiswa di kampus dalam acara sukan mampu menyumbang kepada usaha pembangunan kemahiran insaniah individu.

"Dan yang keduanya ialah berkenaan usaha memperluaskan sumbangan, fungsi serta peranan IPT dalam inisiatif membangunkan industri sukan di Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain