suria

Chong Wei Bersara Selepas Sukan Olimpik 2012

GEORGE TOWN: Pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mengumumkan hari ini bahawa beliau akan bersara selepas Sukan Olimpik di London 2012.

Pemain perseorangan nombor satu negara itu berkata beliau ingin memberi peluang kepada pelapis muda mengharumkan nama negara.

"Saya mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain pelapis lain untuk bermain dan mengharumkan nama negara," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Selain Chong Wei, pemain wanita perseorangan nombor satu negara Wong Mew Choo juga dilaporkan telah mengumumkan persaraannya.

Sementara itu, Chong Wei menyifatkan tindakan Datuk Misbun Sidek menarik semula peletakan jawatan sebagai jurulatih perseorangan kebangsaan, satu tindakan bijak.

Beliau berkata keputusan Misbun itu memberi kebaikan kepada banyak pihak, terutama kepada dirinya serta Persatuan Badminton Malaysia.

"Tindakan Misbun itu satu tindakan yang bagus kerana dia boleh melatih dan mencungkil bakat-bakat baru daripada pelapis muda yang ada sekarang. Dengan pengalaman yang beliau ada, saya pasti beliau akan dapat mencari penganti saya," katanya yang menganjurkan majlis amal di sini bagi mengutip dana membantu mangsa tsunami di Jepun.

Majlis amal bertemakan 'Hope & Smile' itu menyaksikan beliau Chong Wei bermain dalam satu perlawanan persahabatan antara empat orang serentak selama 15 minit.

Esok (Ahad), majlis yang sama akan diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur yang menyaksikan Chong Wei berdepan rakan baiknya, pemain Indonesia Taufik Hidayat.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain