suria

Bukan Senang Lahir Pemain Pelapis - Ahmad Shabery

SABAK BERNAM: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek mengakui negara tidak mempunyai ramai pemain pelapis badminton bagi menerajui cabaran negara di peringkat antarabangsa pada masa depan.

"Perkara ini tidak dapat dinafikan. Bagi melahirkan seorang bintang bukanlah satu perkara mudah dan dia bukan datang selalu.

"Masalah bukan sahaja berlaku di negara ini malah berlaku juga di Indonesia, sekiranya perseorangan lelaki negara itu Taufik Hidayat bersara," katanya, Ahad.

Beliau ditanya tentang cabaran negara di persada badminton dunia apabila jaguh perseorangan negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menggantung reketnya kelak.

Pemain itu dilaporkan mahu bersara selepas Sukan Olimpik London 2012 nanti bagi memberi peluang kepada pelapis muda untuk terus mengharumkan nama negara.

Namun Ahmad Shabery yakin bahawa dengan penubuhan Akademi Badminton Kebangsaan yang dijangka dibina tahun depan, ia dapat membantu usaha negara untuk mencungkil bakat baru dan pemain pelapis bagi menyertai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.

"Apabila akademi ini siap nanti, kita akan mempunyai sistem lebih baik. Ia bagi mencontohi model negara China dalam melahirkan pemain pelapis badminton negara," kata beliau.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain