suria

Pelumba Ireland Julang Piala Gabenor Melaka

MELAKA: Pelumba dari Ireland, David McCann yang mewakili pasukan Giant Asia Racing Team muncul juara keseluruhan jelajah berbasikal Piala Gabenor Melaka 2010 di sini hari ini.

McCann mengumpul masa 7 jam 7 minit 57 saat menewaskan pelumba dari Australia, Samuel Paul Witmitz yang mewakili pasukan Le Tua Cycling Team dengan catatan masa 7:8.5s. Pelumba kebangsaan, Mohd Shahrul Mat Amin yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia muncul ditempat ketiga dengan jumlah catatan masa 7:8.13s saat.

McCann merupakan juara peringkat pertama semalam tetapi pada peringkat kedua hari ini, beliau hanya menduduki tempat ke-15 dengan catatan masa 3:7.5s.

Perlumbaan yang bermula di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini, dibahagikan kepada dua peringkat iaitu peringkat pertama melalui laluan sejauh 167.3km manakala pada peringkat kedua melalui laluan sejauh 127.4km.

Sergey Kudentsov dari Russia yang mewakili pasukan Polygon Sweet Nice menjuarai peringkat kedua hari ini dengan catatan masa 3:7.4s manakala Witmitz menduduki tempat kedua dengan catatan masa yang sama tetapi Kudentsov diisytihar pemenang dengan keputusan photo finish.

Tempat ketiga menjadi milik Mohd Shahrul dengan catatan masa 3:7.5s.

Perlumbaan peringkat kedua dilepaskan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Melaka, Hassan Abdul Rahman.

Seramai 90 pelumba dari 18 pasukan dalam dan luar negara mengambil bahagian.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azizan Hamid.

Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 itu didaftarkan di bawah kalendar perlumbaan Benua Asia dan menawarkan mata kepada 15 pelumba terbaik untuk mata ranking Asia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain