suria

Selangor Sedia Bangunkan Acara Berbasikal Lebuh Raya

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor sedia menghulurkan bantuan dan kerjasama kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memajukan acara berbasikal jelajah seperti Jelajah Malaysia pada masa akan datang.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri amat menyokong usaha seperti ini kerana secara tidak langsung ia memberi peluang kepada rakyat untuk meminati acara tersebut.

"Generasi muda akan menyertai dan melibatkan diri secara serius dalam sukan ini, ia amat penting dalam usaha membudayakan sukan kerana melalui bersukan, ia dapat membina modal insan untuk pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pengenalan pasukan Jelajah Malaysia 2010 di Wisma PKNS, Kuala Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya sebagai menyokong usaha untuk memajukan acara sukan kali ini, pihaknya meminta beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor untuk menjadi penaja bagi acara Jelajah Malaysia.

Acara perlumbaan sukan berbasikal tertua negara, Jelajah Malaysia yang mula diperkenalkan pada 1963 akan membuka tirai edisi ke 45 mulai esok hingga 2 Mei, dengan peringkat pertama perlumbaan membabitkan kayuhan dari Kuala Selangor ke Lumut, Perak, esok, melibatkan jarak sejauh 192.4km.

Artikel Lain