suria

Walker Puas Hati Prestasi Pelumba Elit Negara

LUMUT: Pelumba elit Malaysia telah mempamerkan kemampuan dan prestasi yang mengagumkan pada kejohanan lumba basikal Jelajah Malaysia 2010 yang berlangsung sekarang, kata jurulatih kebangsaan William Walker.

"Ini prestasi terbaik mereka setakat ini. Kami ada lapan atau sembilan penunggang sewaktu latihan di Ipoh dua bulan lepas.

"Pada perlumbaan hari ini (Jelajah Malaysia Peringkat Satu ), penunggang yang menduduki lima tangga teratas adalah penunggang elit. Mohd Shahrul (Mat Amin)sungguh luar biasa hari ini, begitu juga Fallanie. Mereka mempamerkan peningkatan ketara selepas berada di kem latihan," kata Walker hari ini.

Katanya berlumba dalam kejohanan seperti Jelajah Malaysia memerlukan penunggang memikirkan strategi masing-masing.

"Lebih-lebih lagi pada peringkat hari ini, dengan perlumbaan jarak jauh (192.4km), setiap orang kelihatan letih dan secara automatik, penunggang terbaik dapat melakukan serangan dan memenangi perlumbaan," katanya.

Walker berkata anak didiknya telah menjalani latihan intensif sejak 17 Januari di Ipoh sebagai persiapan menghadapi kejohanan Le Tour de Langkawi pada Februari lepas.

Program latihan mereka diteruskan selepas itu dan beberapa penunggang telah mewakili Malaysia pada kejohanan Jelajah Thailand, Jelajah Taiwan dan perlumbaan jalan raya Kejohanan Lumba Basikal Asia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain