suria

Tiket perlawanan Red Devils-Malaysia XI hampir habis dijual

KUALA LUMPUR: Lebih 65,000 daripada 85,000 tiket bagi perlawanan persahabatan antara juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dan Malaysia XI di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 18 Julai, telah dijual setakat ini.

"Apa yang paling mengejutkan kami ialah semua tiket premium berharga RM308, RM98, RM68, telah habis dijual.

"Ini juga termasuk tiket untuk pelajar bagi kanakkanak berumur antara tiga tahun hingga 17 tahun sahaja," kata San Boon Wah, Pengarah Urusan ProEvents International Sdn Bhd, penganjur Jelajah Asia Manchester United 2009 kepada Bernama di sini semalam.

Tiket yang masih ada bagi perlawanan peringkat pertama itu ialah yang berharga RM58 kurang daripada 20,000 tiket, katanya.

"Tetapi, tiket bagi tempat duduk bebas ini (RM58) dijual seperti goreng pisang panas sejak dua tiga hari lepas. Kira-kira 2,000 hingga 3,000 tiket dijual pada setiap hari kini," katanya.

"Menjelang minggu depan, kami menjangkakan kapasiti penuh stadium semasa hari perlawanan sebenar," katanya.

Oleh yang demikian , beliau menasihatkan orang ramai membeli tiket secepat mungkin dan tidak menunggu saatsaat akhir.

Sementara itu, semua 73,000 tiket bagi perlawanan peringkat kedua Jelajah Asia Manchester United menentang Indonesia All Star di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada 20 Julai telah habis dijual pada 2 Julai, tiga minggu sebelum perlawanan persahabatan itu, menurut laporan dalam laman web rasmi Manchester United di www.manutd.com.

Selepas perlawanan di Kuala Lumpur dan Jakarta, anak buah bimbingan Sir Alex Ferguson itu akan menentang FC Seoul di Korea (24 Julai) dan pasukan China, Hangzhou Greentown (26 Julai).

Selepas itu, juara Perdana Inggeris itu akan beraksi dalam perlawanan pembuka tirai musim EPL 2009/2010, iaitu Community Shield Cup, menentang juara Piala FA, Chelsea di Stadium Wembley pada 9 Ogos.

Pada 15 Ogos, pasukan Red Devils itu akan memulakan misi mempertahankan gelaran liga mereka di Old Trafford menentang Birmingham. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain