suria

Kecoh Radja terima ugutan bunuh di Johor, penganjur konsert buka cerita dan mohon maaf

Radja mendakwa menerima ugutan bunuh dari wakil penganjur konsert di Johor.

PENGANJUR Majestic Johor Radja Live Concert 2023 iaitu Momosa Events & Entertaiment tampil memohon maaf susulan dakwaan kumpulan dari Indonesia itu menerima ugutan bunuh selain dilemparkan kata-kata kesat dipercayai dilakukan oleh wakil dari syarikat tersebut.

Menerusi kenyataan media kepada mStar, pihak penganjur itu menjelaskan dakwaan tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar dan insiden itu berpunca daripada salah faham mengenai komitmen komersial sewaktu acara berkenaan.

"Kami mohon maaf kepada Radja. Kami juga kesal imej acara yang berlangsung dengan gilang-gemilang ini tercalar dengan insiden yang tidak diingini.

"Perbincangan yang pada mulanya berjalan dengan aman bertukar panas dan berlaku sedikit kekecohan namun dalam keadaan terkawal.

"Setelah diselidik dengan lebih lanjut, Radja tidak tahu menahu mengenai kesemua isu yang dibangkitkan kerana semua komunikasi pihak penganjur bersama kumpulan tersebut hanya melalui pengurus tempatan dan menyebabkan ketidakpadanan (mismatch) maklumat yang patut diterima Radja," kata kenyataan berkenaan.

41678586817_KumpulanRadja

Radja menyerahkan kes itu kepada pihak polis.

Pada 11 Mac lalu, Radja menghiburkan peminat menerusi konsert yang diadakan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru sebelum berlaku pertengkaran bersama wakil penganjur.

ARTIKEL BERKAITAN: Dmasiv intai Amy Search dan Bunkface sebagai rakan duet, janji persembahan luar biasa sempena ulang tahun ke-20

ARTIKEL BERKAITAN: Letih asyik dapat watak rebut lelaki, Fazura buka syarikat produksi sendiri

Insiden itu berlaku selepas Radja tidak dimaklumkan tentang sesi meet and greet antara band itu dengan peminat serta beberapa lagi aktiviti lain yang dirancang penganjur.

Radja turut membuat laporan polis sebelum berangkat pulang ke Indonesia sehari selepas kejadian.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut menyebut pihak Momosa Events & Entertaiment telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan kes tersebut selain mendapat bantuan Konsulat Jeneral Kedutaan Indonesia di Johor.

Pihak penganjur juga berharap, salah faham berkenaan dapat dijernihkan dan tiada persengketaan berpanjangan berlaku selain kesal di atas insiden yang berlaku.

"Salam maaf ini juga dipanjangkan kepada pihak Tourism Johor, Konsulat Jeneral Kedutaan Indonesia di Johor serta semua pihak yang terkesan berhubung perkara ini," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan dua lelaki ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada Ahad lalu.

Kamarul Zaman memberitahu hasil siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain