PENGACARA Keanu Azman terbuka mengakui kelemahan ketika mengendalikan minggu pertama program nyanyian Kilauan Emas Selebriti.Justeru itu, Keanu, 29, tampil memohon maaf sekiranya gaya pengacaraannya disifatkan kurang menyerlah hingga dianggap ‘tenggelam’ bersama rakan gandingannya, Raja Azura. Menganggap kritikan tersebut sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran, Keanu menjelaskan program berkenaan merupakan pentas berskala besar pertama yang dikendalikannya.Keanu berkongsi perkara itu ketika ditemui media. "Saya rasa minggu pertama ini, saya dengan Kak Engku (Raja Azura) dah cuba yang terbaik. Kita sudah duduk sekali, beri idea, tapi mungkin masa siaran langsung ada yang tak sehebat masa latihan. "Benda itu bukan salah Kak Engku, saya memang ambil tanggungjawab untuk segala kekurangan. Jadi saya masih tengah kemaskan keserasian dengan Kak Engku dan rancangan ini."Saya memang minta maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan saya sebab saya tahu hari ini banyak kekurangan, tapi saya percaya ia akan bertambah baik setiap minggu, insya-Allah," katanya ketika ditemui semasa sidang media Kilauan Emas Selebriti pada Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: 10 pelakon veteran berentap dalam Kilauan Emas Selebriti 2026, sumbangan mingguan untuk artis memerlukanARTIKEL BERKAITAN: Jalaluddin Hassan teruja sertai Kilauan Emas, tak sangka dapat ‘green light’ Tok RamMengulas mengenai perasaan gementar, Keanu memberitahu pengacaraan di pentas besar memerlukan komitmen dan persediaan yang jauh berbeza berbanding tugasan pengacaraan yang pernah digalasnya sebelum ini."Nak kata stres itu tidak, tapi saya kena buat kerja lebih. Ia sangat berbeza dengan pengacara yang saya buat sebelum-sebelum ini. Ini merupakan program utama, jadi saya kena pastikan ada persediaan yang sangat rapi. "Peserta, lagu-lagu, terma-terma yang digunakan generasi dulu itu semua saya masih tengah belajar. Ini peluang yang baik untuk saya belajar benda baharu di luar zon selesa sendiri," tambahnya.Dalam pada itu, Keanu memaklumkan dia ada mendapat beberapa mesej daripada rakan selebriti yang memberi amaran supaya dia tidak membuka aplikasi Threads bagi mengelakkan tekanan akibat kecaman netizen.Keanu banyak belajar mengenai pengacaraan bersama Raja Azura. Keanu bagaimanapun memilih untuk tidak melayan komen-komen berbaur kebencian sebaliknya mengambil kritikan membina sebagai pembakar semangat."Habis sahaja rancangan, saya dapat WhatsApp banyak. Jadinya, saya sudah tahulah apa antara komen yang dilemparkan dekat Threads atau TikTok."Ada komen yang membina, saya akan ambil itu sebagai pengajaran sebab saya kena buktikan kepada mereka yang seorang Gen-Z boleh serasi dengan otai-otai," jelasnya.Kilauan Emas Selebriti berlangsung dari Auditorium Shah Alam, Selangor dan bersiaran di saluran Astro Prima setiap malam Sabtu.Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube