suria

Akaun palsu fitnah agama Ezzanie Jasny, keluarga terima ugutan

Ezzanie berang akaun palsu sebar fitnah.

PELAKON Ezzanie Jasny mendedahkan kewujudan beberapa akaun palsu di media sosial yang menyamar sebagai dirinya sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga.

Ezzanie atau nama sebenarnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 26, berkata akaun terbabit bukan sahaja menggunakan wajahnya malah turut melibatkan foto ahli keluarga bagi mengelirukan peminat.

Lebih membimbangkan, akaun-akaun tersebut turut menyebarkan kenyataan tidak benar berkaitan status agamanya, selain aktif dalam sesi siaran langsung, forum dan ruangan komen.

Beberapa akaun palsu yang membuat fitnah.

“Ada banyak akaun palsu yang menyamar sebagai saya dan menggunakan gambar peribadi saya serta ahli keluarga tanpa kebenaran.

“Akaun-akaun ini juga menyebarkan kenyataan palsu berkaitan agama dan terlibat dalam siaran langsung serta komen yang langsung tidak mencerminkan diri saya,” katanya.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di Instagram miliknya bersama paparan dua akaun yang dikenal pasti sebagai akaun palsu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu hanya ‘extra‘ lalu lalang, influencer Ezzanie Jasny tak sangka dapat peluang jadi heroin Akasia!

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berjaya miliki Mercedes Benz, Ezzanie Jasny kumpul duit beli rumah pula

Dalam pada itu, Ezzanie memberitahu keadaan menjadi semakin serius apabila akaun terbabit turut menghantar mesej ugutan kepada ahli keluarganya, termasuk adik perempuannya.

“Situasi ini semakin membimbangkan apabila terdapat ancaman terhadap keluarga saya termasuk mesej ugutan yang dihantar secara langsung kepada adik perempuan saya.

“Perkongsian ini adalah penjelasan rasmi dan juga amaran. Sebarang bentuk penyamaran, fitnah, gangguan, ugutan atau penyalahgunaan identiti saya selepas ini akan direkodkan dan diambil tindakan sewajarnya,” jelasnya.

Menurut Ezzanie, pendedahan itu dibuat bukan untuk mencetuskan kontroversi sebaliknya demi keselamatan diri dan keluarga.

Antara mesej ugutan yang diterima ahli keluarga.

Dia turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana akaun palsu yang menggunakan namanya.

“Perkongsian ini bukan untuk mencipta drama, tetapi untuk meningkatkan kesedaran dan melindungi keluarga saya.

“Jika anda melihat akaun-akaun ini memberi komen, menyertai siaran langsung atau mengeluarkan kenyataan tidak sesuai, ketahuilah itu bukan saya,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain