suria

Nadhir Nasar tidak patah semangat MV ‘Malampagi’ dikritik berunsur lucah… “Kalau tak ikut Barat macam mana nak dapat kualiti Netflix”

Nadhir serahkan penonton untuk berpendapat tentang MV arahanya.

PELAKON Nadhir Nasar tidak melatah apabila video muzik (MV) arahannya berjudul Malampagi dianggap kerterlaluan sehingga membawa unsur negatif kepada masyarakat.

Menjawab kritikan netizen itu, Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 26, berkata dia hanya berkarya dalam MV tersebut dan ingin berkongsi mesej serta realiti sebenar kehidupan masyarakat.

Justeru itu, baginya terpulang kepada pendengar dan penonton untuk memilih mesej yang ingin disampaikannya.

"Prinsip saya di sini adalah untuk menyampaikan mesej bukan untuk mengejar populariti.

nadhir1

Nadhir serahkan kepada penonton untuk memilih.

"Menjadi seorang pengarah dan menulis untuk MV tersebut saya mahu menyampaikan mesej sesuatu yang keterlaluan tapi itu adalah realiti.

"Setiap manusia ini adalah pilihan... saya telah buat pilihan saya untuk menyampaikan mesej apa yang buruk dan apa yang baik, jadi terpulang kepada penonton untuk pilih yang baik atau buruk," katanya kepada mStar.

Nadhir berkongsi perkara itu ketika ditemui di Sidang Media Super Wira yang berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada petang Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dakwa lirik ‘Malampagi’ selit unsur lucah, Saixse seronok pendengar dapat berfikir... “Janganlah terlalu ke arah tak elok”

ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah gempak! MV ‘Aku healing sampai pagi’ rupanya arahan Nadhir Nasar, kolaborasi bersama MK bantu Saixse

Ini selepas lagu nyanyian Saixse kembali hangat diperkatakan kerana didakwa mengandungi unsur lucah.

Peka dengan situasi terkini itu, Nadhir berkata industri perlu melakukan perubahan demi mendapatkan karya terbaik.

"Saya peka dengan perkara itu tapi demi menghasilkan karya yang baik ini agak sukar sebenarnya.

"Ada setengah pihak mengatakan kita perlukan naskah seperti Netflix tapi ada pula berpendapat kita tidak boleh mengikut barat.

Kalau kita bergabung, industri Malaysia ini akan cukup hebat.

NADHIR NASAR

PELAKON

"Tapi kalau tidak ikut barat macam mana kita nak dapat kualiti seperti Netflix? Tapi macam mana kita nak gabungkan dua kelompok ini agar terima.

"Sebab kalau kita bergabung, industri Malaysia ini akan cukup hebat. Itulah saya dan beberapa pelakon lain menjadikan ia matlamat," ujarnya.

Dalam pada itu pelakon yang terkenal dengan drama Projek: High Council itu memaklumkan dia tidak bimbang sekiranya ada pihak yang ingin menyekat MV arahannya.

Malah kritikan tersebut juga tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menjadi seorang pengarah hebat suatu hari nanti.

Nadhir

Nadhir hanya mahu sampaikan mesej kepada masyarakat.

"Saya tidak risau... kalau nak ban saya rasa ia telah melepasi bidang kuasa saya terpulang pada mereka.

"Buat masa ini tiada lagi yang kritik. Saya pun kurang baca komen. Saya hanya mendapat kritikan daripada rakan-rakan sahaja.

"Tapi sebenarnya bagus kritikan ini kerana ia akan membuatkan karya kita lebih baik," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain