suria

Mat London meninggal dunia

Mat London meninggal dunia pada usia 74 tahun.

PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London meninggal dunia kira-kira pukul 5.57 pagi di Hospital Kuala Lumpur pada Jumaat.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Hafiz Nafiah.

Allahyarham berusia 74 tahun.

Dalam pada itu, anaknya Salmany Akir Ahmad menerusi Facebook miliknya turut mengesahkan pemergian bapa tercinta.

Malah Salmany turut memaklumkan pada Khamis keadaan Allahyarham yang semakin kritikal dan memohon doa agar bapanya kembali pulih.

"Sesudah laungan azan subuh... Papa menghembuskan nafas terakhir di hening pagi yang masih sepi di pagi Jumaat," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Paru-paru dan jantung lemah, Mat London ditidurkan

Sejak 26 Jun lalu, Allahyarham dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan terpaksa ditidurkan berikutan keadaan paru-paru dan jantungnya yang lemah.

Mat London sebelum itu dimasukkan ke HKL pada 13 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru.

Sementara itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Taman Melawati Kuala Lumpur untuk disolatkan sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat.

Selain presiden FDAM, Mat London juga seorang pengarah filem seperti Kelisa, Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa dan Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.

Untuk rekod, Mat London pernah mendirikan rumah tangga dengan dramatis Datin Fadilah Mansor pada 18 Oktober 1989 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alia Farhani, 32 dan Faeesal Aswad, 29.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain