suria

Ezad Lazim sertai konsert jelajah Exists 2023, Singapura bakal jadi lokasi pertama hibur peminat

Exist kembali bergabung untuk konsert jelajah sepanjang 2023.

SAMBUTAN hangat peminat ketika pertama kali mengadakan konsert di Singapura pada 2019 telah mendorong kumpulan Exists untuk tampil mengadakan persembahan sekali lagi di negara Republik tersebut.

Menerusi konsert jelajah Reunion Exists 2023, Singapura dipilih menjadi lokasi pertama sebagai tanda penghargaan buat peminat kumpulan tersebut.

“Kami sentiasa teruja dan menghargai sokongan yang diberikan oleh para peminat di Singapura. Ketika kali pertama kami muncul di Singapura atas nama Konsert Exists Reunion, sambutan yang diberikan membuatkan kami terharu.

exist 2

Kejayaan konsert di Singapura pada 2019 beri semangat buat Exist untuk hiburkan peminat.

“Oleh itu, kami ingin kembali lagi untuk sama-sama membina momen-momen indah bersama para peminat yang tidak putus-putus menyokong perjalanan karier,” kata Ajai mewakili anggota lain.

Konsert yang dijangka berlangsung pada 14 Januari 2023 itu sekali lagi menggabungkan semua anggota asal Exists iaitu Ajai selaku pemain keyboard, Musa (bass), Along (gitar), Shah (gitar), Ujang (dram) serta dua vokalis mereka, Mamat dan Ezad Lazim.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Resolusi Exists tampil 3 vokalis... Peminat tanya mana Ezad Lazim?

ARTIKEL BERKAITAN: Nama tidak tersenarai dalam ‘Konsert Resolusi Exists’... Ezad Lazim jawab dakwaan disisihkan sebagai vokalis

Sementara itu selaku pihak penganjur Shirazdeen Karim dari Shiraz Project, konsert yang bakal berlangsung itu sekali gus sebagai pengubuat rindu buat peminat yang telah lama menantikan kehadiran Exists sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.

Ia juga bakal menjadi penanda aras untuk siri jelajah Exists ke beberapa lokasi yang akan diumumkan kelak.

Kami ingin kembali lagi untuk sama-sama membina momen-momen indah bersama para peminat.

AJAI (EXISTS)

“Pihak Shiraz Projects sering mendapat pertanyaan bilakah lagi Exists Reunion akan kembali lagi ke Kota Singa dan menyemai momen indah bersama peminat dengan lagu-lagu malar segar mereka.

“Kami bawakan konsert ini kembali kerana mengerti dengan kerinduan peminat yang sudah menunggu kehadiran Exists Reunion selepas pandemik melanda dunia.

“Memahami kerinduan yang mereka rasakan, kami bawakan Exists Reunion ke The Theatre at Mediacorp, Singapura sebagai lokasi pertama dalam rangkaian siri jelajah Exists Reunion pada tahun 2023. Lokasi yang seterusnya akan diumumkan kelak,” jelasnya.

exist 3

Ajai teruja untuk kembali bertemu peminat Exist menerusi konsert jelajah.

Pastinya lagu-lagu popular seperti Rahsia Pohon Cemara, Untukmu Ibu dan Mengintai Dari Tirai Kamar antara senarai yang akan dipersembahkan sepanjang konsert berlangsung nanti.

Harga tiket bermula dari SGD75 hingga ke SGD245 yang mana peminat berpeluang bertemu anggota Exists dalam sesi meet and greet.

Tempahan tiket boleh dibuat di www.myticket.asia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain