suria

Konsert Resolusi Exists tampil 3 vokalis... Peminat tanya mana Ezad Lazim?

Konsert Resolusi Exists bakal berlangsung pada 18 November depan di Zepp Kuala Lumpur tanpa kehadiran Ezad Lazim.

KETIADAAN Ezad Lazim menerusi Konsert Resolusi Exists yang dijadualkan berlangsung pada 18 November depan menjadi tanda tanya memandangkan penyanyi itu antara vokalis paling dikenali peminat selepas Mamat.

Menjawab persoalan itu, pemain bass Exists iaitu Musa menjelaskan ketiadaan Ezad dalam konsert itu bukan disebabkan isu perselisihan faham sebaliknya penyanyi berkenaan sudah terikat dengan komitmen lain.

Malah kata Musa, gitasi Exists iaitu Shah turut tidak dapat menyertai konsert itu nanti.

"Sudah tentu kita mahu semua ahli turut serta tetapi disebabkan terikat dengan komitmen lain, impian untuk melihat semua anggota Exists berkumpul tidak kesampaian.

"Sebenarnya ini bukan konsert reunion dan Ezad tidak dapat bersama kerana terikat dengan kontrak showcase yang lain.

Kumpulan Exists dijadualkan akan mempersembahkan sekitar 16 hingga 19 buat lagu dalam konsert Resolusi Exists.

Sidang media konsert Resolusi Exists yang diadakan di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort pada Isnin lalu.

"Jika kita mahu tunda konsert ke tahun hadapan, perkara itu pula tidak mendapat persetujuan penganjur yang meminta ia diadakan tahun ini juga," jelasnya kepada mStar.

Konsert Resolusi Exists akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada pukul 9 malam dan akan menampilkan tiga vokalis yang pernah menyertai kumpulan tersebut iaitu Mamat, Pasha dan Eiz.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Penyanyi Kumpulan Exist Didenda RM2,411 Kerana Mencuri

ARTIKEL BERKAITAN: Exists cipta kenangan terindah buat peminat, Mamat ‘tebus kesalahan’ dengan vokal bertenaga

Selain Musa dan Mamat, Exists turut dianggotai oleh Ajai, Along dan Ujang.

Sementara itu, Musa berkata, atas persetujuan semua pihak, Exists memilih Eiz dan Pasha yang merupakan anak didik kepada komposer terkenal, Ajai.

Kata Musa, gandingan ketiga-tiga vokalis itu dipercayai mampu memberikan persembahan luar biasa apatah lagi Eiz sendiri sudah beberapa tahun mengadakan persembahan bersama Exists.

Jika kita mahu tunda konsert ke tahun hadapan, perkara itu pula tidak mendapat persetujuan penganjur yang meminta ia diadakan tahun ini juga.

MUSA

PEMAIN BASS EXISTS

"Kami sebenarnya bimbang dengan tahap kesihatan Mamat dan risau sekiranya dia tidak mampu bertahan sepanjang dua jam konsert berlangsung.

"Setidak-tidaknya dengan kemunculan Eiz dan Pasha, mereka boleh menjadi penguat konsert itu nanti apatah lagi masing-masing berpengalaman mengadakan persembahan pentas bersama kami," jelasnya.

Tambah Ajai pula, dia yakin kemunculan Pasha dan Eiz mampu memberi kelainan pada konsert itu nanti selain menjadikan Mamat sebagai 'muka depan' kumpulan itu.

"Eiz merupakan anak didik Along manakala Pasha adalah anak didik saya. Kedua-dua mereka memenuhi kehendak Exists. Kemunculan mereka nanti boleh menjadi daya penarik peminat generasi baharu dan mampu membawa perbezaan berbanding persembahan Exists yang lain," jelasnya.

259722217_1085046178989538_7203108408727262501_n

Exists cukup sinonim dengan Mamat dan Ezad sebagai vokalis.

Dalam pada itu, Pasha dan Eiz memberitahu mereka giat menjalani latihan bagi memastikan dapat menyanyikan lagu-lagu popular kumpulan itu dengan baik serta tidak akan menghampakan penonton.

Pun begitu, mereka juga sedar tanggungjawab itu bukan tugas mudah selain sudah sedia sekiranya ada pihak yang membuat perbandingan diri mereka dengan vokalis asal.

"Masing-masing ada karakter tersendiri dan sama juga dengan kami. Insya Allah kami akan bawakan lagu-lagu Exists dengan cara kami tersendiri," kata Pasha.

Persembahan yang dijangka berlangsung selama dua jam itu bakal menyaksikan ketiga-tiga penyanyi itu mendendangkan lagu seperti Janji Padamu, Rahsia Pohon Cemara, Untukmu Ibu, Langkah Seiring, Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasanmu dan Mencari Alasan.

Dibawakan oleh ImagineX tiket konsert boleh didapati di www.ticket2u.com.my pada harga RM190 (Bronze), RM230 (Silver), RM290 (Gold), RM330 (Platinum) dan RM800 (Box Meet & Greet).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain