suria

Diana Danielle terbawa-bawa watak Nadia di luar set penggambaran, ‘She Was Pretty’ versi Malaysia tambat hati penonton 

Diana menghidupkan watak Nadia dalam She Was Pretty versi Malaysia.

DRAMA bersiri Korea Selatan She Was Pretty yang ditayangkan pada 2015 pernah mencipta fenomena apabila ia mendapat perhatian peminat di seluruh dunia.

Jalan cerita yang menarik dan lakonan cemerlang Hwang Jung-eum, Park Seo Joon, Go Joon Hee and Choi Siwon berjaya mencuit hati penonton sehinggakan drama itu menjadi antara kegemaran dan paling banyak ditonton.

Selepas tujuh tahun, Viu Malaysia telah mengadaptasi drama bersiri popular itu dengan sentuhan tempatan dengan menampilkan Diana Danielle, Aiman Hakim Ridza dan Alvin Chong sebagai tunggak utamanya.

Menjayakan watak sebagai Nadia bukan tugas sukar buat pelakon Diana Danielle kerana dia sendiri sangat meminati karya asal dari Korea Selatan.

Bagi menghidupkan karakter yang sebelum ini dijayakan oleh Hwang Jung Eum itu, Diana, 31, turut menjadikan aktres itu sebagai rujukan utama kerana mahu mengekalkan sifat-sifat istimewa watak itu seperti mana siri asalnya.

WhatsApp Image 2022-08-18 at 9.07.04 AM

Diana bergandingan dengan Aiman dalam She Was Pretty.

Akui aktres ini juga, dia turut terbawa-bawa dengan watak Nadia sehingga ke luar set penggambaran kerana terlalu menghayatinya.

"Saya menjadikan watak asal sebagai rujukan kerana banyak momen ikonik dalam setiap babak yang saya rasa peminat mahu tonton. Dalam pada masa yang sama, saya selitkan unsur tempatan dalam watak ini agar ia lebih realistik.

"Watak Nadia adalah seorang wanita yang kalut dan disebabkan itu saya terbawa-bawa sehingga ke luar set penggambaran kerana terlalu menghayatinya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah cinta penuh tragedi, dapatkah Kimhan kecapi bahagia bersama Mook dalam Irresistible... saksikan secara eksklusif di Viu

ARTIKEL BERKAITAN: F4 Thailand: Boys Over Flowers lebih ‘fresh’, Bright dan Win buat wanita ‘cair’... Korang boleh tonton hanya di VIU

Selain Diana, She Was Pretty turut menampilkan barisan pelakon seperti Aiman Hakim Ridza, Alvin Chong, Daniella Sya, Yasmin Hani, Adam Malek, Jasmin Hamid, Arash Mohd dan Zainol McWilson.

Drama 16 episod itu diarahkan oleh Datuk Yusry Abdul Halim dan sedang ditayangkan di platform penstriman Viu sejak 23 Jun lalu.

Dalam pada itu, Diana memberitahu sudah lama mengimpikan untuk melakonkan watak sedemikian kerana sebelum ini lebih banyak menerima watak antagonis selain melahirkan rasa teruja apabila diberi kepercayaan sebagai teraju utama dalam She Was Pretty.

she was pretty 1

Barisan pelakon She Was Pretty versi Malaysia.

"Seorang kenalan memperkenalkan saya dengan drama ini dan sejak itu saya mula meminatinya. Jadi apabila diberi tawaran untuk melakonkan watak Nadia, tak mungkin saya akan tolak.

"Saya juga banyak berbincang dengan pengarah untuk memahami apa yang dimahukan untuk watak ini selain menyesuaikan dengan citarasa tempatan tanpa menjejaskan versi asal," jelasnya.

Sementara itu, bagi Aiman yang memegang watak sebagai Haniff memberitahu dia dinasihatkan oleh guru lakonannya supaya tidak menonton watak asal Ji Sung Jun yang dibawakan oleh Park Seo Joon.

Pun begitu kata Aiman, bagi tidak menghampakan penonton, Aiman tetap menonton beberapa episod drama asal bagi membolehkan dia menjiwai babak-babak penting dalam drama tersebut.

"Guru lakonan saya iaitu Fatimah Abu Bakar tidak mahu saya tonton drama asal kerana bimbang saya akan terikut-ikut dengan watak lakonan Ji Sung Jun.

"Namun saya tahu babak-babak yang menjadi ikonik buat penonton sangat penting jadi saya kena tonton supaya peminat tidak berasa kecewa," ujarnya.

WhatsApp Image 2022-08-15 at 2.41.54 PM

She Was Pretty pernah menjadi fenomena pada 2015.

She Was Pretty mengisahkan tentang Haniff (Aiman Hakim Ridza) yang terpisah dengan sahabat ketika kecil iaitu Nadia (Diana Danielle) dan pernah menyimpan perasaan terhadapnya.

Selepas 15 tahun terpisah, Haniff ingin bertemu kembali dengan Nadia tetapi Nadia berasa malu dan tidak yakin dengan penampilannya.

Disebabkan itu, Nadia meminta rakan baiknya, Kejora (Daniella Sya) menggantikan tempatnya untuk bertemu dengan Haniff selepas sekian lama terpisah.

Apa yang bermula sebagai penipuan kecil menjadi besar apabila Haniff sebenarnya adalah majikan di majalah fesyen tempat dia bekerja dan Nadia bergelut untuk mengekalkan identitinya.

Meskipun perasaan cinta kembali terbit dihati Nadia, dia juga tersepit dengan kebaikan salah seorang pekerja iaitu Ashraf yang mula jatuh cinta dengan Nadia.

Pergelutan antara cinta dan persahabatan mula timbul apabila Kejora mula jatuh hati terhadap Haniff. Siapa pula pilihan Haniff?

Penonton boleh menonton kesemua episod She Was Pretty di sini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain