suria

Puas gubah lagu untuk penyanyi lain, MFMF tampil dengan ‘Pura-Pura’ inspirasi muzik K-pop

Kumpulan MFMF muncul dengan single baharu bertajuk Pura-Pura.

SEBELUM ini trio MFMF lebih dikenali sebagai komposer yang pernah menghasilkan beberapa buah lagu popular seperti Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali, Janjiku (Kaka Azraff) dan Kasi Pagi Kais Petang (Andi Bernadi).

Tidak mahu terus selesa dengan apa dimiliki, MFMF yang dianggotai oleh tiga jejaka berbangsa Tionghua iaitu Brendan Lim, Justin Seow dan Zen terus mengembangkan karier mereka dalam industri muzik tempatan apabila muncul dengan single terbaharu berjudul Pura-Pura.

Brendan ketika bercakap kepada mStar memberitahu, mereka tidak menjadikan bahasa sebagai halangan untuk berkarya namun lebih selesa menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu.

"Sudah tiga tahun kami menulis dan menggubah lagu dalam bahasa Melayu malah pernah menerima dua pencalonan Anugerah Juara Lagu (AJL) untuk Peluang Kedua di AJL35 dan Lara nyanyian Hael Husaini, Naim Daniel dan Haqiem Rusli di AJL36.

Untitled design (1)

MFMF menggabungkan beberapa selebriti seperti Nabila Razali, Aishah Retno dan Han Byul bersama beberapa pencipta TikTok dalam video muzik Pura-Pura.

"Sejujurnya kami lebih banyak menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu berbanding bahasa lain," katanya.

Bercakap mengenai Pura-Pura, Brendan memberitahu lagi itu terhasil menerusi satu jenaka untuk menghasilkan lagu K-pop namun dalam bahasa Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga jejaka bersuara viral pertaruhkan bakat, lancar single pertama berjudul OY

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Namo’ taruhan pertama Sweet Qismina, harap peminat beri peluang buktikan diri sebagai penyany

Kata Brendan cubaan menghasilkan lagu berkenaan menjadi dan hanya mengambil masa dua jam untuk disiapkan.

"Kami ada terima permintaan untuk menulis lagu berentak K-pop, jadi kamu cuba untuk buat sehinggalah tanpa sedar dalam suka-suka lagu itu berjaya disiapkan.

"Kami hanya mengambil masa dua jam untuk menyiapkan lagu itu dan berharap pendengar akan menyukainya," katanya.

Untitled design (2)

Han Byul turut menyanyikan dalam lagu Pura-Pura.

Sementara itu, Brendan memberitahu sebagai penulis lagu dan komposer sudah tentu mereka menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu buat penyanyi luar negara.

Sudah menjadi impian MFMF kata Brendan untuk membawa muzik Malaysia dan Asia Tenggara ke pentas antarabangsa sekiranya ada peluang.

"Kami sedang menyasarkan untuk menghasilkan sebuah EP dengan artis K-pop dalam bahasa Korea, Inggeris dan Melayu.

"Impian kami adalah untuk mewakili muzik Malaysia dan Asia Tenggara di pentas antarabangsa.

Disebabkan itu penting untuk kami selitkan kepelbagaian budaya Malaysia dalam semua karya sekali gus mencerminkan nilai pelbagai kaum

BRENDEN LIM

ANGGOTA KUMPULAN MFMF

"Disebabkan itu penting untuk kami selitkan kepelbagaian budaya Malaysia dalam semua karya sekali gus mencerminkan nilai pelbagai kaum di negara ini," jelasnya.

Apa lebih membanggakan kata Brendan, Pura-pura turut mendapat kerjasama platform TikTok yang bertindak sebagai penerbit dan menjadi lagu itu sebagai karya original media sosial itu.

Tidak hanya itu, muzik video yang dilancarkan di YouTube pada 10 Ogos lalu telah pun mencecah 100,000 tontonan dan ramai selebriti popular membuat kemunculan seperti Aisha Retno, Nabila Razali, Faiz Suhaimi dan Han Byul yang turut menyanyikan lagu berkenaan.

Beberapa pencipta video TikTok turut sama menjayakan video muzik tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain