suria

Ibu Syamel meninggal dunia selepas hampir sebulan ditidurkan - “Allah lebih sayangkan umi… saya reda”

Ibu Syamel meninggal dunia pada kira-kira pukul 10 malam Ahad.

SELEPAS hampir sebulan dirawat di sebuah pusat perubatan di ibu kota akibat kekurangan oksigen, ibu kepada penyanyi Syamel iaitu Wan Faaizah Karim, 55, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 malam, Ahad.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly memberitahu doktor sudah melakukan yang terbaik namun Allah lebih menyayangi arwah ibunya yang dipanggil umi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Syamel jatuh sakit, ditidurkan dalam ICU - “Sudah seminggu guna alat bantuan pernafasan“

“Doktor dah cuba yang terbaik tapi bukan rezeki... Allah lebih sayangkan umi. Saya reda dengan pemergiannya. Sekarang saya masih dalam proses menguruskan jenazah di hospital. Mungkin akan dibawa ke surau berdekatan dengan rumah.

“Saya akan lakukan yang terbaik mengikut SOP memandangkan dalam situasi sekarang. Insya-Allah kalau tiada apa-apa jenazah akan dikebumikan pada tengah hari esok,” kata Syamel kepada mStar.

Ibu Syamel meninggal dunia selepas kira-kira sebulan mengalami masalah kekurangan oksigen.  (Foto: Sweetpictures)

Foto kenangan ketika majlis perkahwinan Syamel dan Ernie.

Terdahulu suami kepada penyanyi Ernie Zakri itu berkongsi berita sedih tersebut di Instagram dan mendoakan agar arwah ditempatkan di syurga serta semua amal baiknya diterima Allah.

“Ya Allah, kau ampunkanlah dosa umiku, kau perlihatkan syurga buat umi, kau jadikan kuburnya seperti taman di taman syurga, kau terimalah segala amal baiknya di dunia untuk dijadikan teman di alam sana.

“Kau terangilah cahaya di dalam kuburnya, sesungguhnya umiku pergi meninggalkan seribu satu ajaran padaku yang akan aku amalkan hingga akhir hayat. Hanya doa yang baik-baik saya harapkan daripada anda semua,” tulisnya.

Menerusi laporan mStar pada 24 Julai lalu, ibu Syamel masih koma selepas terpaksa ditidurkan berikutan masalah kekurangan oksigen dalam badan.

Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 28, ibunya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di ibu kota sejak hampir sebulan lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain