suria

[VIDEO]Rayuan Sherie Merlis segera dapat perhatian, ahli keluarga positif Covid-19 jalani kuarantin di hotel Royale Chulan Kuala Lumpur

Adik Sherie sekeluarga tiba di Royale Chulan Kuala Lumpur sekitar pukul 7.45 malam Ahad.

AKHIRNYA rayuan dan luahan pelakon Sherie Merlis mendapat perhatian apabila adiknya yang disahkan positif Covid-19 ditawarkan untuk menjalani kuarantin di sebuah hotel di Kuala Lumpur

Simpati dengan nasib Sherie yang terpaksa mendiami sebuah rumah bersama anggota keluarga yang ramai, hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dengan kerjasama Megaklinik Zahran segera menghulurkan bantuan dengan menyediakan lokasi untuk kuarantin.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Nak marah saya, marahlah... saya dah buntu” - Sherie Merlis bimbang keselamatan ibu bapa, adik positif Covid-19 masih kuarantin di rumah

Menurut Pengurus Besar Royale Chulan Kuala Lumpur, Badrul Rezal Baharudin, pihaknya akan menguruskan tempat tinggal dan rawatan sepanjang kuarantin selama 10 hari di hotel berkenaan.

Sherie 2

Luahan keresahan Sherie mendapat perhatian ramai pihak.

"Pihak kami mengetahui mengenai keadaan Sherie selepas membaca artikel di mStar. Jadi, kami terus cuba menghubunginya.

"Kebetulan pula, rakan kerjasama kami iaitu Megaklinik Zahran turut ada menghubungi Sherie untuk membantunya.

"Pihak Megaklinik akan menguruskan hal rawatan serta kenderaan yang membawa keluarga itu ke hotel kami.

"Manakala kami akan menaja sepenuhnya dari segi penginapan dan makan minum sepanjang mereka kuarantin di hotel selama 10 hari," katanya kepada mStar.

Pihak kami mengetahui mengenai keadaan Sherie selepas membaca artikel di mStar.

BADRUL REZAL BAHARUDIN

PENGURUS BESAR ROYALE CHULAN KUALA LUMPUR

Menerusi ujian calitan yang dilakukan, adik aktres berkenaan bersama suami dan dua anak kecil mereka didapati positif Covid-19 dan sudah dibawa ke hotel itu kira-kira pukul 8 malam Ahad.

Manakala ahli keluarga yang lain termasuk pelakon telefilem 30 Hari Puasa itu sudah melakukan ujian calitan dan tidak dijangkiti virus berkenaan.

Menerusi laporan mStar, Sherie meluahkan rasa bimbang selepas adiknya yang positif virus itu diminta menjalani kuaranti di rumah yang didiami 11 orang termasuk dia sendiri.

Lebih membimbangkan apabila kediaman itu turut didiami ibu bapa mereka yang berdepan masalah penyakit kronik serta lima kanak-kanak dan seorang bayi.

Ujar Sherie, adik perempuannya itu disahkan positif namun diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah sehingga tindakan lanjut diambil dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Badrul menjelaskan bantuan yang diberikan merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan oleh pihak hotel.

"Royale Chulan Kuala Lumpur dengan kerjasama Megaklinik Zahran sememangnya menawarkan khidmat rawatan dan pusat kuarantin buat pesakit Covid-19.

"Kami menawarkan bantuan dan menaja sepenuhnya keluarga Sherie yang dijangkiti wabak tersebut," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain