suria

“Bayangkan keadaan keluarga dan bil yang perlu dibayar?”- Awi Rafael sebak keadaan pesakit kanser tulang

Awi turut bersedih melihat keadaan Shafuan yang mempunyai ketumbuhan bersaiz dua biji bola di bahagian belakang akibat kanser tulang.

KISAH seorang remaja bernama Shafuan yang mempunyai ketumbuhan di bahagian atas belakang badan akibat kanser tulang mendapat perhatian penyanyi Awi Rafael.

Menerusi Instagram Awi atau Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 33, sempat melawat Shafuan bersama ayah remaja itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada petang, Rabu.

Menurut Awi, dia memohon kepada sesiapa atau mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan dan bantuan boleh menghubungi abang kepada Shafuan, Mohd Nazarhairy Hafify.

"Petang tadi (Rabu) sempat melawat Adik Shafuan di HKL bersama ayahnya. Shafuan menghidap penyakit kanser tulang. Ibunya pula juga terlantar sakit akibat strok sejak dua tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Keluarga lebih penting" - Anak akur permintaan ibu hidap strok, berhenti kerja kali kedua... jaga adik kanser tulang


Awi sempat melawat Shafuan di hospital.

"Ayahnya terpaksa tidak berkerja untuk menjaga Safuan sepenuhnya di hospital dan abangnya pula harus berkerja di Jelebu, Negeri Sembilan sambil jaga ibu dan adik.

"Bayangkan keadaan keluarga dan bil-bil yang perlu dibayar? Kita pasti dapat menolong keluarga Adik Shafuan, boleh hubungi abangnya (Nazar) dari link di Instastory," katanya.

Awi turut memuat naik artikel mStar Online mengenai Shafuan yang mempunyai ketumbuhan sebesar dua biji bola di bahagian belakang badan.

Menurut abang kepada Shafuan, Nazar, adiknya mula menghidap kanser pada awal tahun lalu dan menerima rawatan di HKL sejak 26 Mac lalu.

Tambah memilukan, ibunya iaitu Salmie Shafie, 48, juga terlantar sakit akibat strok sejak dua tahun lalu menyebabkan Nazar dan bapanya, Nor Azhar Hussien, terpaksa berkorban masa serta tenaga untuk menjaga mereka berdua.

Keadaan Shafuan dan ibunya yang terlantar sakit di hospital.

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Singapura ini memberitahu Shafuan seorang remaja yang kuat dan mempunyai hati yang baik.

Malah, Awi terharu melihat semangat Shafuan yang baharu sahaja berusia 20 tahun untuk mencapai impiannya.

"Banyak yang Awi sempat bual dengan Shafuan, dia seorang budak yang kuat dengan hati yang baik. terharu tengok semangatnya untuk capai impiannya.

"Dia baharu sahaja 20 tahun. Kehidupan ni tidak adil tapi semua momen ni akan berlalu. Amin. (tolong kongsi kisah dia)," katanya.

Awi Rafael

Artikel Lain