suria

Umie Aida nyaris terkena histeria, menangis keluar dari Penjara Pudu

Umie Aida kongsi pengalaman seram menjalani penggambaran di Penjara Pudu. Foto AHMAD ZAMIR

KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Umie Aida mendedahkan dia nyaris mengalami histeria ketika menjalani penggambaran filem Dukun di Penjara Pudu sekitar 12 tahun lalu.

Menceritakan kejadian itu, Umie berkata, ketika kejadian dia melawat tempat tahanan akhir banduan untuk dibawa ke bilik gantung sebelum tubuhnya tiba-tiba menggigil dan ketakutan.

"Benar orang kata apabila kita pergi ke tempat sebegitu jangan leka sesaat pun dan ketika kejadian saya dalam keadaan tidak suci.

"Sementara menunggu kru bersiap sedia saya masuk ke tempat tahanan terakhir banduan dan bertanya apa agaknya perasaan dan dalam fikiran mereka pada hari terakhir.

Antara barisan pelakon Dukun...(dari kiri); Hasnol Rahmat, Faizal Hussien, Dain Said (Pengarah), Umie Aida dan Elyana.

"Tidak sampai beberapa saat tubuh saya menggigil ketakutan dan sekiranya saya tidak mengawalnya mungkin saya boleh terkena histeria," katanya.

Umie ditemui pada tayangan perdana Dukun yang diadakan pada petang Rabu.

Filem arahan Dain Said itu akhirnya menemui penonton di pawagam bermula Khamis selepas 12 tahun ia disiapkan.

Bercakap lanjut mengenai pengalamannya itu, Umie berkata, dia segera keluar daripada kawasan penjara kerana bimbang kejadian tidak elok berlaku.

Kata Umie, dia menangis hampir lima minit di tempat parkir di luar penjara sebelum kembali bertenang dan meneruskan penggambaran.

Umie lega Dukun akhirnya masuk panggung.

"Selalunya setiap kali sebelum masuk set penggambaran memang tidak lepas dari mulut saya membaca Al-Fatihah dan ayat Kursi.

"Selepas kejadian itu saya cepat-cepat beristigfar dan berzikir kerana memang rasa takut sangat. Alhamdulillah tiada apa yang tidak elok berlaku pada saya," jelasnya lagi.

Bercakap lanjut mengenai Dukun, Umie berkata, dia sukar menggambarkan perasaannya apabila diberitahu akhirnya filem itu bakal menemui penonton di pawagam.

Kata Umie, sebagai pelakon sudah tentu dia berasa gementar dengan reaksi penonton yang ternanti-nantikan kemuncukan Dukun namun pada masa sama dia berasa teruja.

Elyana memegang watak sebagai Nadia dalam Dukun.

"Alhamdulillah nampaknya semua kerja keras saya bersama pelakon dan kru penerbitan akhirnya terbayar dengan penayangan Dukun selepas 12 tahun menunggu.

"Perasaan itu memang teruja dan pada masa sama berasa puas dapat berkongsi watak yang saya sifatkan antara paling mencabar dan saya suka bawa," ujarnya.

Dukun sebelum ini diharamkan tayangannya pada Disember 2006 berikutan selepas Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) membuat keputusan itu kerana jalan ceritanya yang kontroversi serta menyinggung perasaan.

Selain Umie yang memegang watak sebagai Diana Dahlan, Dukun turut membariskan pelakon seperti Adlin Aman Ramli, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat dan Elyana.

Dukun, Umie Aida

Artikel Berikut

Artikel Lain