suria

Idayu (AF3) Sepi Kerana Tiada Peluang Muncul Di TV

Idayu memberitahu dia dilihat menyepi kerana tidak mempunyai peluang untuk muncul di televisyen.

SUDAH agak lama tidak mendengar nama bekas peserta program Akademi Fantasia ke-3 (AF3) iaitu Idayu yang cukup sinonim dengan gelaran sebagai Mariah Carey Malaysia.

Pertemuan dengan penyanyi berusia 32 tahun ini baru-baru ini mendedahkan tentang punca sebenar dia menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.

Menurut Idayu dia tidak pernah menghilangkan diri malah masih berminat untuk meneruskan karier nyanyiannya cuma tiada peluang untuk berbuat demikian.

Idayu mahu kembali merancakkan karier nyanyiannya.

Malah dia juga tidak pernah diberi peluang untuk muncul di televisyen membuatkan namanya terus dilupakan.

"Saya tidak pernah menyepi tetapi ketiadaan peluang untuk muncul di televisyen atau tampil dengan lagu baru menyebabkan saya tenggelam.

"Ia bukan pilihan saya tetapi saya reda kerana sedar diri bukanlah sesiapa dalam industri muzik tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Idayu berkata, penglibatannya dalam program AF Megastar yang memulakan siaran pada malam ini (Ahad) dilihat sebagai platform terbaik untuk menunjukkan kembali bakatnya kepada peminat.

Malah kata pemilik nama sebenar Nur Farah Idayu Yaakob ini, pentas itu juga sebagai menebus kembali kesilapan yang pernah dilakukan ketika menyertai AF3 pada 2005.

"Saya tidak mahu bersaing tetapi melihat AF Megastar sebagai platform paling baik untuk saya menyerlahkan kembali bakat sebagai penyanyi.

"Ini adalah peluang terakhir saya dan akan buat sebaiknya bagi menebus kembali semua kesilapan 12 tahun lalu," ujarnya.

24 bekas peserta program Akademi Fantasia bakal berentap bagi merebut gelaran juara AF Megastar.

Kata Idayu lagi, dia sebenarnya sudah patah semangat untuk meneruskan karier dalam bidang muzik namun suaminya, Shahrul Fadzil yang memberinya keyakinan untuk mencuba.

"Jika tidak kerana suami mungkin saya tidak akan hadir ketika dipanggil untuk uji bakat program ini.

"Ketika proses uji bakat pun memang saya berikan sehabis baik dengan menyanyikan tiga buah lagu kerana tahu ini adalah peluang terakhir saya," katanya.

Sementara itu, Idayu berkata, sepanjang menyepi dia masih aktif menyanyi namun tawaran persembahan tidak banyak dan dia memberi fokus kepada perniagaan bersama suaminya.

"Kalau rindu saya menyanyi dekat Smule dan jika ada undangan saya pergi tetapi tidak banyak seperti dahulu," katanya.

Idayu, AF Megastar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain