suria

Siang Sentuh Perempuan, Malam Minta Ampun

Shamsul kembali berlakon setelah lima tahun mendalami ilmu Islam.

SEJAK pelakon dan pelawak Shamsul Ghau Ghau mula mendalami ilmu Islam pada 2013, dia tidak lagi muncul dalam mana-mana drama sehingga ada pihak membuat spekulasi dia sudah meninggalkan industri seni.

Namun, Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, 49, memberitahu pada tahun ini dia baharu diberi peluang untuk kembali aktif dalam dunia lakonan.

"Selepas saya mengambil keputusan untuk mendalami ilmu Islam, saya tidak mempunyai kerja dan hanya fokus kepada kelas-kelas agama sahaja selama lima tahun. 

"Kehidupan saya sekeluarga hanya bergantung dengan duit simpanan sahaja. Tapi duit itu bukan selama-lamanya ada. Saya perlu mencari rezeki untuk menampung isteri dan anak-anak.

"Alhamdulillah, tahun ini saya diberi tawaran berlakon dalam beberapa buah telefilem," kata Shamsul yang akan muncul dalam Imam Samar-Samar (TV9), Dodol Untuk Menantu (TV3) dan Huru-Hara Raya (TV3) sepanjang hari raya ini.

Shamsul tidak mahu terlalu memikirkan pandangan orang terhadapnya. 

Dalam pada itu, dia sedar keputusannya untuk kembali berlakon akan diperkatakan memandangkan watak yang dibawanya tidak bersesuaian dengan imejnya kini.

"Ada babak yang memerlukan saya bersentuhan dengan pelakon wanita dan saya tahu perkara itu salah. Tambah pula, saya membawa imej begini.

"Tapi disebabkan tuntutan dan kehendak kerja, saya perlu melakukannya. Saya ada berfikir panjang mengenai perkara ini tapi kalau saya tak lakonkan babak itu, nanti boleh mencacatkan seluruh cerita pula.

"Saya perlu fikir tentang orang lain juga. Perbuatan ini memang salah dan apa yang boleh saya buat adalah solat taubat.

"Bagi saya bila buat dosa siang, malam kena minta ampun. Cuma, takut sedang buat dosa Allah tarik nyawa kita," ujarnya yang sudah bersedia menerima sebarang kritikan dan kecaman selepas lakonannya disiarkan.

Shamsul Ghau Ghau

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain