suria

Adnan Abu Hassan Hasilkan Lagu Peserta Kilauan Emas - Isteri

Datin Rozinor tabah kehilangan Adnan Abu Hassan.
DIKEMAS KINI - TEMUBUAL ISTERI

KAJANG:
Jenazah komposer Datuk Adnan Abu Hassan selamat dikebumikan kira-kira pukul 9.50 pagi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal di sini pada Jumaat.

Allahyarham sebelum itu dibawa ke Masjid Al-Falah di sini pada pukul 6 pagi selepas dimandikan dan dikafankan di Hospital Selayang dekat sini.

Antara artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah adalah Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Misha Omar, Hasnol dan Nora.

Terdahulu, Adnan, 57, meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 pagi Jumaat akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah buah pinggang dan serangan angin ahmar.

Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang, pada pukul 2 pagi Khamis.

Adnan meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 pagi Jumaat. 

Adnan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Rozinor Hafiza Mohd Fauzi, 38, dan tiga orang anak Aiman Zamer, 20, Aina Zamira, 17, dan Adrian Zahir, 15, tahun hasil perkahwinan pertamanya dengan Siti Aminah.

Bagaimanapun perkahwinan keduanya sejak 2009 tidak mempunyai cahaya mata.

Dalam kerjaya seninya, Allahyarham banyak menghasilkan lagu artis-artis tempatan khususnya menaikkan nama Datuk Siti Nurhaliza dengan lagunya Jerat Percintaan.

Sumbangan besarnya dalam kerjaya seni turut membolehkan beliau diberikan penghargaan berupa Anugerah Wirama dalam Anugerah Industri Muzik ke 17 pada tahun 2010.

Sementara itu, Rozinor ketika ditemui berkata, sukar baginya untuk menerima hakikat bahawa suaminya itu telah tiada kerana sepanjang perkahwinan selama tujuh tahun mereka tidak pernah berpisah.

Bagaimanapun katanya, dia berpuas hati dapat menjaga Adnan dengan baik ketika kesihatannya merosot sejak diserang penyakit angin ahmar pada November tahun lalu.

"Kebanyakkan masa kami berdua sahaja dirumah jadi kami banyak menghabiskan masa bersama. Sebab itu saya sukar untuk menerima hakikat dia sudah tiada.

"Saya suka menyakatnya apabila suami merajuk akan sesuatu namun saya puas dapat menjaganya sepanjang tempoh arwah sakit," katanya.

Rozinor masih belum dapat menerima hakikat suaminya telah tiada.

Menceritakan kejadian sebelum Adnan dimasukkan ke hospital, Rozinor berkata, dua minggu sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke hospital akibat diserang angin ahmar buat kali kedua namun dibenarkan keluar untuk berehat dirumah.

Bagaimanapun katanya, sejak itu kesihatan suaminya semakin merosot dan tidak boleh berjalan selain hanya terlantar di atas katil.

"Pada malam sebelum dimasukkan ke hospital saya sedang menonton televisyen di ruang tamu dan apabila saya masuk bilik untuk lihat keadaannya saya lihat dia mula sesak nafas dan saya meminta anak menelefon ambulans.

"Doktor memberitahu kuman mula menyerang bahagian paru-paru, buah pinggang selain otaknya kekurangan oksigen sebelum menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Jumaat," jelasnya.

Tambahnya, kesemua ahli keluarga berada di hospital ketika Adnan menghembuskan nafasnya yang terkakhir.

Dalam perkembangan sama, Rozinor berkata, Adnan sempat menyiapkan sebuah lagu untuk Nas (Kilauan Emas) namun ia belum dirakamkan oleh penyanyi berkenaan.

"Lagu itu sangat sedap dan arwah pernah beritahu dia buat untuk Nas tetapi belum sempat dirakamkan lagi," katanya.

Adnan Abu Hassan

Artikel Lain