suria

Ieda Moin Difitnah Pengasas Produk Jamu

Ieda kesal diperalatkan oleh seorang pengasas produk jamu yang berjanji untuk melantiknya sebagai duta.

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Ieda Moin berasa kecewa kerana diperalatkan oleh seorang pengasas produk jamu selepas individu berkenaan gagal menunaikan janji untuk melantiknya sebagai duta.

Lebih mengecewakan, Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 35, berkata, individu itu turut menabur fitnah kononnya dia seorang artis yang bermasalah.

"Sebelum ditawarkan menjadi duta saya mencuba sendiri produk berkenaan dan Alhamdulillah ia menunjukkan hasil positif dan saya berjaya mengurangkan berat badan.

"Saya banyak mempromosikan produk itu dalam akhbar dan media sosial atas dasar ingin berkongsi dengan peminat yang ingin menguruskan badan.

"Apabila produk tersebut mula dikenali dan pengasasnya sudah ramai kenalan dalam kalangan selebriti, dia mula lupa terhadap janji yang pernah dia buat kepada saya malah memburukkan nama saya kepada orang lain," katanya kepada mStar Online.

Ieda kini hanya mengamalkan senaman dan pemakan sihat bagi mengekalkan berat badan idealnya.


Tambah Ieda, dia kesal apabila nama baiknya tercalar kerana dia belum pernah menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Ieda berkata, dia kini tidak lagi menggunakan produk berkenaan dan hanya mengamalkan pemakanan sihat dan senaman bagi mengekalkan berat badannya.

"Alhamdulillah tanpa produk berkenaan pun saya masih mampu menurunkan berat badan sebelum ini iaitu 72 kilogram kepada 48 kilogram dengan melakukan senaman setiap hari dan mengambil pemakanan sihat," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ieda berkata, dia kini sibuk dengan penggambaran beberapa drama selain Selamat Pengantin Madu dan Misiku Kuza sedang ditayangkan.
Ieda Moin, Jamu.

Artikel Lain