suria

Bintang Singapura, Erwin Shah Dawson Rancang Menetap Di Malaysia

Erwin sudah bersedia mengembangkan kerjaya lakonan di Malaysia.
PETALING JAYA: Kejayaan beberapa pelakon Singapura mendorong bintang baharu Erwin Shah Dawson dari negara itu untuk menetap di Malaysia bagi mengembangkan kerjaya dalam industri hiburan tempatan.

Erwin, 25, berkata, dia melihat peluang untuk menonjolkan bakat lakonan di negara ini lebih besar selepas kejayaan artis-artis senegaranya seperti Adi Putra, Aaron Aziz, Kumpulan Sleeq dan Aliff Aziz yang berjaya mencipta nama.

"Selepas membina nama di Singapura, sudah tiba masanya untuk saya berhijrah ke Malaysia demi memperluaskan bakat dalam sebuah industri seni hiburan yang besar.

"Saya melihat ramai selebriti dari Singapura berjaya di negara ini. Ada juga rakan-rakan saya mencuba bakat mereka di sini termasuk Shah Iskandar dan nampaknya kehadirannya semakin diterima.

"Bukan kerana mahu mengikut trend, tetapi saya mengambil semangat dan kesungguhan mereka yang berjaya," katanya kepada mStar Online.

Tambah Erwin, dia berharap agar perancangannya kali ini menjadi memandangkan hasrat itu pernah terbatal beberapa tahun lalu.

Dalam pada itu dia juga bersyukur kerana beberapa produksi tempatan sudah menawarkannya projek lakonan dan ia masih lagi dalam perbincangan.

Sementara itu, Erwin berkata, sekiranya berjaya mengukir nama di Malaysia, dia turut merancang untuk membawa kekasihnya ke negara ini bagi memulakan kerjaya sebagai penyanyi.

"Di Singapura, kekasih saya masih belajar selain menjadi penyanyi bagi majlis-majlis korporat.

"Buat masa ini kami terpaksa berjauhan dahulu dan dia pun faham. Selepas dia menamatkan pengajiannya dan kewangan saya pula semakin kukuh, barulah saya akan mengajak dia membina kerjaya nyanyian di sini pula," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Erwin kini sedang sibuk menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Jaipur di India dan Brisbane, Australia bersama pelakon Nellydia Senrose, Shiqin Kamal, Erra Fazira dan Awie bagi membintangi filem Warna Cinta Impian terbitan Touch Tronics Entertainment Sdn Bhd.

"Diharap, kemunculan saya dalam filem ini dapat memberi ruang kepada saya menunjukkan bakat kepada penggiat filem tempatan lain selain masyarakat di sini," ujarnya.

Di Singapura, Erwin pernah membintangi drama Tetangga, Maya, Anak Metropolitan, Tuan Haji, Bukalah Pintu Hatimu dan Remy & Jin Hee. Dia juga pernah muncul dalam program hiburan seperti Sinar Lebaran, JUS, Anugerah Hari Raya Haji, Kecoh, Sinaran Hati, Fiesta Komedi, Makanlicious dan 24/7.

Selain itu, Erwin juga pernah terlibat dengan produksi tempatan menerusi filem Cinta Kura-Kura dan drama terbitan RTM iaitu Pesona Kasih.
Erwin Shah Dawson

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain