suria

Bintang Hollywood Sedih Kematian Robin Williams

Robin Williams

KEMATIAN pelakon Robin Williams pada Isnin memberi kejutan besar buat peminat-peminat dunia perfileman Hollywood apatah lagi kematiannya dipercayai akibat membunuh diri.

Tragedi itu turut mendapat reaksi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang mengangap pelakon itu sebagai seorang yang luar biasa kerana keupayaannya membuatkan orang ramai ketawa dan menangis kerana kebolehan bakat lakonannya itu.

Dunia perfileman Hollywood juga turut bersedih dengan kematian itu dan menyifatkan kehilangannya sukar untuk dicari ganti.

Kebanyakkan selebriti  berkongsi rasa sedih mererka dalam laman sosial masing-masing selain terkejut dengan peristiwa yang tidak disangkakan itu.

Gambar fail yang dirakamkan pada 23 Mac 1998 menunjukkan Robin Williams memegang Anugerah Oskar selepas memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Akademi ke-70 menerusi filem Good Will Hunting. 

Pelakon pembantunya dalam Shrink iaitu Kevin Spacey berkata, Williams adalah seorang lelaki hebat yang dikenalinya.

“Dia membuatkan kita ketawa, dia buatkan kita sedih. Saya akan sentiasa merindukannya,”  kata Spacey.

Penyanyi Cher pula memberi reaksi dengan memuat naik ikon sedih sebelum mengimbas semula hubungannya dengan pelakon itu.

Cher turut menganggap Williams seorang yang penyayang selain mempunyai pemikiran ke depan malah dia mengenali bintang itu sejak kecil lagi.

“Saya sangat sedih dan kecewa dengan pemergian Robin Williams. Saya memikirkan bagaimana keluarganya menempuh ujian ini,” katanya.

Dalam  pada itu keluarga Sharon Osbourn pula bersedih dengan tragedi itu kerana mereka menganggap mendiang seorang yang lucu, berbakat dan murah hati.

Penyanyi Miley Cyrus pula yang meluahkan rasa sedih memberitahu, dia tidak pernah menangis terhadap seseorang yang tidak dikenalinya melainkan selepas mendengar kematian Williams.

“Saya tidak mampu menghentikan tangisan saya selepas mendapat berita kematian Robin Williams. Saya tidak pernah menangisi seseorang yang saya tidak pernah jumpa melainkan dalam keadaan ini,” katanya.

Pelakon yang terkenal semasa zaman kanak-kanaknya iaitu Lindsay Lohan turut menyampaikan ucapan takziah terhadap keluarga pelakon itu dengan berkata: “Williams melawat saya semasa hari pertama penggambaran filemThe Parent Trap. Saya tidak dapat lupakan budi baiknya. Kematiannya satu kehilangan besar. Takziah daripada saya”.

Gandingannya dalam filem Good Will Hunting iaitu Minnie Driver, pula menyifatkan hatinya hancur selepas mendengar berita sedih itu.

“Robin seorang yang kacak, penyayang dan saya tidak dapat menerima kenyataan pemergiannya. Takziah buat keluarganya,” kata Driver.

Ellen DeGeneres pula berkata dia benar-benar sedih selain turut menulis nota kedukaannya itu pada gambar mereka bersama yang dirakamkan ketika pelakon  lelaki  itu diwawancara.

“Saya kecewa. Saya tidak percaya dengan berita ini,” katanya.

Manakala aktor Zac Efron pula berkata selepas mendapat berita itu dia bertafakur seketika di set penggambaran.

Dia turut menganggap pelakon itu berjaya membuatkan orang ketawa dan lakonannya diibaratkan mampu menyembuhkan penyakit.

Robin pada kali terakhir dilihat pada malam Ahad lalu sebelum mayatnya ditemui di rumahnya di Tiburon, California, Amerika Syarikat. Satu panggilan kecemasan dibuat pada pukul 11.55 pagi Isnin.

Gambar dirakamkan pada 1978 di set penggambaran Mork and Mindy.

Siasatan pihak forensik bagi mengenalpasti punca kematiannya dijadual dilakukan pada Selasa termasuklah ujian toksikologi.

Mendiang meninggalkan balu iaitu Susan Schneider dan tiga orang anak iaitu Zachary Pym, 31, Zelda Rae, 25, dan  Cody Alan, 19.

Sebelum berkahwin dengan Schneider  (2011-2014),  Williams pernah mengahwini Marsha Garces (1989-2010) dan Valerie Velardi (1978-1988).

Williams dilahirkan di Chicago pada tahun 1951 dan empat kali dicalonkan bagi merebut Anugerah Oscar.

Mengimbas zaman kanak-kanaknya Williams pernah berkata, dia seorang yang pemalu dan gelagat itu sering dikatawakan oleh ibunya.

Bagaimanapun sikapnya lebih terbuka ketika di sekolah rendah apabila terlibat dengan kelab drama dan diterima masuk di Akademi Juilliard.

Namanya mula diangkat pada tahun 1978 dengan peranannya sebagai makhluk asing yang turun ke bumi dalam filem  komedi Mork & Mindy selepas terlibat dalam Happy Days.

Kehebatan kuasa komedinya itu membuatkan dia berjaya ke layar lebar pada tahun 1980 dalam Popeye.

Antara filem-filem lain lakonannya ialah Jumanji (1995), Patch Adam (1988), Mrs Doubtfire (1993) dan Night At The Museum (2006).

Robin Williams

Artikel Lain