suria

Pengarah Muda Harus Arah Drama Episod - Kabir Bhatia

Kabir Bhatia
Kabir Bhatia
Kabir Bhatia

KUALA LUMPUR: Kabir Bhatia menyarankan pengarah muda yang ingin menjadi sutradara berkaliber harus memulakan pengarahan menerusi drama berepisod terlebih dahulu sebelum beralih ke bidang perfileman.

Kabir berkata, cara itu dapat mengasah lagi bakat pengarahan seseorang memandangkan drama berepisod melibatkan penggambaran yang mengambil masa lama.

"Pada pendapat saya, setiap pengarah baru perlu bermula daripada bawah di mana mereka berkarya menerusi drama terlebih dahulu.

"Kenapa saya kata begitu, kerana apabila seorang pengarah berkarya dalam sebuah drama melibatkan episod panjang, ia sekali gus dapat mengasah bakat mereka untuk menghasilkan sebuah produk yang lebih baik," katanya kepada mStar Online.

Khabir ditemui di set penggambaran drama Jiwa di Stadium Titiwangsa di sini pada Rabu.

Tambah pengarah filem Nur Kasih itu, untuk menjadi pengarah yang bagus, golongan berkenaan wajib mengambil tahu mengenai keseluruhan produksi dan hendaklah meluangkan masa mempelajari hal-hal kecil seperti ‘konti’ baju sehinggalah ke bahagian teknikal.

Sementara itu, mengenai drama Jiwa, Kabir bergandingan dengan Nurhanisyam Muhammad bagi mengarahkan drama 13 episod tersebut. Skripnya ditulis oleh Fairul Nizam.

Ia mengisahkan mengenai perhubungan keluarga dan aksi lawan Muay Thai yang dilakonkan oleh tiga pelakon utama iaitu Faizal Hussein, Remy Ishak dan Kamal Adli.

"Satu elemen yang berbeza saya bawakan dalam drama ini di mana ideanya diilhamkan menerusi sebuah drama Hollywood.

"Saya tidak tiru jalan ceritanya, tetapi isu yang dibangkitkan adalah mengenai seorang ayah yang pernah bekerja sebagai askar mendidik dua orang anak dengan cara yang sangat tegas," ujarnya.

Jiwa yang turut melibatkan pelakon Siti Elizad, Sheila Mambo dan Liza Shadan ini bakal disiarkan setiap Rabu mulai 5 Februari 2014 b bermula pukul 9 malam di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain