suria

Amy (Search) Berhasrat Sambung Belajar Di Universiti

Amy mengakui meminati bidang arkitek dan seni lukis.
Amy mengakui meminati bidang arkitek dan seni lukis.
Amy mengakui meminati bidang arkitek dan seni lukis.

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Search iaitu Amy bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan walaupun usianya kini telah pun mencecah 55 tahun.

Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, berkata, keadaan kewangan yang tidak mengizinkan selepas tamat persekolahan telah membuatkan hasratnya untuk ke menara gading terbantut pada ketika itu.

"Selepas tamat sekolah semua orang berlumba-lumba untuk memasuki universiti tetapi saya tidak berkesempatan kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan.

"Namun sehingga hari ini saya masih berhasrat untuk menyambung pelajaran di menara gading kerana itu adalah impian saya," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Amy berkata, dia tidak menolak untuk menyambung pelajaran sekiranya ada tawaran daripada mana-mana universiti pada masa hadapan.

Jelasnya lagi, dia sangat meminati bidang arkitek selain seni lukis dan berharap dapat mendalami bidang berkenaan suatu hari nanti.

"Ilmu itu boleh dituntut tidak kira usia dan masa kerana ia adalah perkara yang cukup berguna dan sekiranya ada yang ingin menawarkan saya tempat di universiti pasti saya akan terima," ujarnya yang sering mengisi masa lapang dengan aktiviti melukis di rumah.

Sementara itu, bercakap mengenai Konsert Destini yang dianjurkan Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) bagi mengutip dana untuk membantu penuntut universiti kurang berkemampuan, Amy berkata, dia berbesar hati apabila dilamar oleh pihak penganjur.

Jelas Amy, menerusi konsert amal itu dia dapat menyumbangkan sesuatu kepada generasi muda supaya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

"Saya tidak mahu anak-anak muda berpotensi menjadi seperti saya dan berharap sumbangan yang saya berikan dari segi nyanyian dapat membantu mereka merealisasikan impian untuk ke universiti," jelasnya.

Konsert itu bakal diadakan pada 20 dan 21 Disember depan di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dekat sini.

Ia bakal menampilkan barisan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Rossa, Pansha (Ungu), Adira, Hafiz, Jaclyn Victor, Awie dan Dayang Nurfaizah.

Tiket menyaksikan konsert ini dijual dengan harga RM30, RM80, RM200, RM300, RM500 dan RM1,000.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi 019-6704734, 013-3959839, 03-79622186.

Artikel Lain