suria

Dan, Anak Andy (Flop Poppy) Sudah Sedia Jadi Suami

Dan memberitahu sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Dan memberitahu sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Dan memberitahu sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Loka yang juga anak kepada penyanyi Andy (Flop Poppy) iaitu Dan Azreen menjelaskan telah bersedia untuk melangkah ke gerbang perkahwinan dalam masa terdekat.

Dan atau nama sebenarnya Megat Daniel Azreen, 21, berkata, walaupun masih muda namun dia tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah kerana telah bersedia untuk bergelar suami.

"Apa yang paling penting adalah sebagai seorang lelaki kita perlu tahu tanggungjawab yang akan dipikul apabila bergelar suami dan walaupun masih muda saya sudah bersedia.

"Insya-Allah kami akan disatukan dalam masa terdekat ini dan perkara baik itu akan saya uar-uarkan kepada semua nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Dan turut memberitahu dia dan kekasihnya, Asimareen, 34, telah pun mengikat tali pertunangan dalam satu majlis kecil-kecilan di ibu negara pada September lalu.

Jelas Dan, majlis tersebut hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Dan bersyukur kerana keluarga mereka merestui hubungan tersebut walaupun wanita berkenaan 13 tahun lebih tua daripadanya.

"Ia tidak pernah menjadi isu dan keluarga amat gembira apabila kami memberitahu mahu mendirikan rumah tangga," ujarnya.

Sementara itu, Dan berkata, dia sangat selesa dengan Asimareen atau lebih mesra dengan sapaan Reen itu kerana wanita berkenaan seorang yang memahami.

Jelas Dan, mereka juga saling menyokong kerjaya masing-masing walaupun sibuk dengan pelbagai komitmen.

"Ada kalanya Reen akan ikut saya pergi ke studio dan jika berkelapangan saya akan menghadiri majlis-majlis fesyen melibatkannya.

"Menerusi cara ini juga kami lebih memahami dan dapat mengenali hati budi masing-masing dengan lebih baik," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Dan berkata, dia kini aktif menerbitkan lagu untuk artis baharu selain sedang menyiapkan single kedua bersama kumpulan Loka.

Tambahnya lagi, mereka turut diundangkan untuk mengadakan persembahan Rock The World yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Disember depan.

Artikel Lain