suria

Malaysia Catat Capaian Tertinggi Peminat Joe Brookes

SUBANG JAYA: Penyanyi Joe Brooks memilih Malaysia untuk membuat persembahan pada Sabtu (hari ini) adalah untuk menghargai peminat negara ini yang mencatatkan jumlah carian tertinggi terhadap penyanyi itu di Internet.

Joe Brooks akan mengadakan persembahan di KL Live, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang.

Joe berkata, dia tidak sangka peminat di Malaysia telah mengalahkan negara lain dari segi capaian Internet meliputi carian untuk muziknya di youtube, blog atau laman-laman sesawang lain.

"Hadirnya saya di sini adalah untuk menemui peminat-peminat saya yang teramai. Saya hargai mereka semua kerana menyokong dan menyukai muzik saya.

"Bila mendapat tahu tentang hal itu, saya memberitahu pengurus peribadi saya bahawa saya mahu ke negara ini," katanya pada sidang media Joe Brooks Trio Live In Malaysia di Kolej Segi, di sini, Jumaat.

Justeru, dia membuat perancangan untuk datang dua minggu lebih awal ke negara ini dan ingin melawat beberapa tempat menarik sebelum mengadakan persembahan.

Malah dia bersama dua rakan muziknya telah bercuti di Port Dickson, Negeri Sembilan serta ke beberapa pulau yang lain di Semenanjung Malaysia.

"Selama seminggu kami bercuti, saya telah mendapat ilham menghasilkan lagu khas buat peminat-peminat di Malaysia dan ia akan dinyanyikan pada 'showcase' nanti.

"Kemudian, kami turut merasai pelbagai jenis makanan dan sehingga kini saya berasa pelik, memakan nasi lemak seawal pukul 7 pagi dan ia sangat pedas. Apa-apa pun, makanan dan budaya di sini membuatkan saya lebih terpikat dengan Malaysia.

"Malah saya telah pun merancang untuk datang ke sini semula membuat persembahan dalam pertengahan tahun ini," tuturnya.

Joe Brooks memulakan karier muziknya dengan menjadi penyanyi laman sosial MySpace ketika berusia 17 tahun dan empat tahun kemudian, anak kelahiran Southampton, United Kingdom ini mendapat gelaran “Number 1 Unsigned UK Artist”.

Kemudian, penyanyi ini berjaya mendapat tawaran dari Lava Records dan Universal Republic Records di mana dia mengeluarkan album pertamanya, 'Constellation Me' pada tahun 2010.

Setelah hampir setahun, Joe membuat keputusan untuk bergelar penyanyi tanpa syarikat naungan dan telah mengeluarkan album EP 'A Reason To Swim' dengan bantuan sumbangan daripada peminat-peminatnya.

Tahun lalu, Joe juga muncul dengan singlenya, 'Holes Inside' dan ia menjadi popular di carta stesen-stesen radio.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain