suria

Jamal Abdillah Pikat Setiausaha Dengan Lagu Cinta

Jamal memilih pendekatan itu sebagai menyuntik elemen segar dan kelainan dalam persembahannya nanti. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Jamal memilih pendekatan itu sebagai menyuntik elemen segar dan kelainan dalam persembahannya nanti. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Jamal memilih pendekatan itu sebagai menyuntik elemen segar dan kelainan dalam persembahannya nanti. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah merancang untuk memikat golongan setiausaha menerusi dendangan lagu-lagu cinta dan romantik pada persembahan Minggu Setiausaha, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 April depan.

Jamal berkata dia memilih pendekatan itu sebagai menyuntik elemen segar dan kelainan dalam persembahannya pada kali ini.

"Saya jamin persembahan pada kali ini pasti berbeza daripada mana-mana persembahan nyanyian saya sebelum ini.

"Untuk memikat para setiausaha yang hadir nanti, saya akan bawa lagu-lagu cinta dan beramah mesra dengan mereka," katanya.

Jamal ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha di PWTC, di sini, petang Khamis.

Majlis berkenaan akan berlangsung pada tarikh berkenaan bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang di Dewan Merdeka, PWTC.

Bercerita lanjut, Jamal berkata dia akan menyampaikan rangkaian lagu medley yang terdiri daripada lagu-lagunya yang jarang dipersembahkan di depan khalayak.

"Persembahan itu nanti akan merangkumi kira-kira 12 set lagu, di mana dalam kebanyakan set akan ada lagu-lagu medley.

"Selama ini, ramai peminat mengeluh apabila saya tidak dapat menyampaikan lagu-lagu kegemaran mereka.

"Jadi pada kali ini saya akan memperbanyakkan lagu-lagu medley supaya dapat saya nyanyikan sebanyak lagu yang mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah H. Jaafar, berkata pemilihan Jamal adalah berdasarkan popularitinya sebagai penyanyi berpengalaman dan versatil.

"Kami memilih Jamal Abdillah untuk Minggu Setiausaha PWTC atas permintaan para pelanggan yang menghadiri Hari Ibu di sini pada tahun lalu. Kami percaya sambutan Minggu Setiausaha pada tahun ini akan berjaya," katanya.

Selain Jamal, majlis tersebut turut menampilkan pemain saksofon, Alif Nasir dan penyanyi Isma (AF) selaku pembuka tirai.

Ia akan diacarakan oleh pengacara komedi terkenal, Dee.

Persembahan selama satu jam itu akan diiringi lima pemuzik yang diketuai Pengarah Muzik, Abdul Fatah (Belle).

Meja-meja yang berharga RM500++, RM2,000++ dan RM3,000++ kini boleh ditempah di kaunter tempahan di Aras 2, PWTC atau hubungi 03-2614 6701 atau 03-2614 6702.

Pada majlis tersebut, PWTC turut menyediakan hadiah-hadiah berupa dua tiket penerbangan pergi balik ke destinasi pilihan sumbangan Etihad Airways, penginapan hotel dan resort di Malaysia, barangan elektrik dan cenderahati tajaan Kumpulan Media Karangkraf.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain