suria

"Kabus" Temukan Eman Manan & Alex Komang

Gandingan mantap antara Eman Manan dan Alex Komang dalam Kabus pada hari raya ini foto DALILAH
 Gandingan mantap antara Eman Manan dan Alex Komang dalam Kabus pada hari raya ini foto DALILAH
Gandingan mantap antara Eman Manan dan Alex Komang dalam Kabus pada hari raya ini foto DALILAH

KUALA LUMPUR: Syarikat produksi Pena Creative berjaya menggandingkan dua Pelakon Lelaki Terbaik Malaysia dan Indonesia iaitu Emman Manan dan Alex Komang untuk telefilem menarik sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Kedua-dua pelakon itu akan bertemu dalam telefilem Kabus mengisahkan perjalanan dua orang lelaki yang sesat di sebuah hutan tebal Borneo dan mencari jalan hidup masing-masing dengan ideologi berbeza.

Menurut penulis skripnya, Hilal Azman, karya itu hanya sesuai dilakonkan oleh dua orang pelakon terkenal tersebut malah dia turut memberi peluang kepada Eman dan Alex untuk mengembangkan watak mereka menjadi lebih menarik.

"Ketika saya menulis skrip ini, tiada orang lain yang tergambar dalam fikiran saya melainkan Eman Manan dan Alex Komang. Jadi ketika memberi cadangan tersebut kepada pihak produksi, mereka terus bersetuju.

"Bagaimanapun, saya tahu bukan mudah untuk menawarkan watak ini kepada Eman kerana dia seorang yang begitu teliti dengan skrip.

"Ketika pertama kali dia baca skrip ini, dia suruh saya tukar tajuk dan jalan cerita yang lebih tersembunyi dan intelektual," ujarnya.

Bagi pengarah, Ismail Yaakob, naskah yang sarat dengan mesej ini perlu digarap dengan teliti agar jalan cerita dan mesej tersebut sampai kepada penonton.

"Naskah ini sangat menarik ditambah pula dilakonkan oleh dua orang pelakon hebat. Tugas saya untuk menghidupkan jalan cerita agar lebih menarik.

"Namun begitu, Eman dan Alex banyak memberi idea dan berkongsi pendapat mereka. Saya sangat berpuas hati dengan kerjasama pelakon serta hasil telefilem ini," katanya.

Dalam pada itu, Eman mempunyai pendapat sendiri tentang telefilem tersebut.

Baginya jalan cerita yang kuat menjadi daya penarik untuk penonton menyaksikan telefilem tersebut.

"Saya kurang percaya kepada mesej yang ingin disampaikan tetapi percaya kepada penceritaannya, banyak filem di Malaysia yang gagal untuk bercerita.

"Secara jujurnya tiada apa daya penarik untuk telefilem ini kecuali skrip yang mampu membuatkan penonton akan terus menonton sehingga penghujung," katanya.

Sementara itu, Alex turut mengakui antara salah satu sebab dia menerima tawaran untuk berlakon dalam telefilem itu kerana Eman Manan.

"Ketika diberitahu akan digandingkan bersama Eman Manan, saya terus setuju sebab Eman merupakan idola saya. Jadi saya hanya menunggu jika Eman setuju saya akan setuju untuk berlakon.

"Walaupun pada awalnya saya rasakan jalan cerita agak kuno tetapi setelah membacanya, ia sebenarnya sangat memberi pengajaran kepada masyarakat, katanya.

Telefilem berdurasi 1 jam 50 minit ini bakal disiarkan di Astro Oasis pada 12 September akan datang pukul 2.30 petang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain