suria

Raja Lawak 3: Shamsul Ghau Ghau mengkritik atas dasar pengalaman

Barisan peserta Raja Lawak Astro musim ketiga.
Barisan peserta Raja Lawak Astro musim ketiga.
Barisan peserta Raja Lawak Astro musim ketiga.

PENGKRITIK tetap Raja Lawak Astro musim ketiga, Shamsul Ghau Ghau sering memberikan kritikan membina dalam setiap persembahan peserta program realiti itu, namun komennya adakalanya bercanggah dengan pendapat dua pengkritik tetap lain, Zaibo dan Fauziah Nawi.

Sukar untuk menelah apa yang berada di dalam fikirannya ketika memberikan komen dan setiap patah bicaranya juga dirasakan masih boleh diterima akal dan tidak 100 peratus membuta-tuli menghentam kedua-dua belas peserta pada minggu pertama lalu.

Tiada niat untuk menuding jari ke arah Fauziah Nawi atau Zaibo sekalipun, Shamsul menyifatkan setiap komen para pengkritik yang bercanggah itu sebagai pandangan peribadi mengikut persepsi dan skop masing-masing.

Jika dilihat secara langsung di Studio 1, Astro, Bukit Jalil atau di Astro Prima (saluran 105) pada Jumaat lalu, gamat keadaan ketika Shamsul dan Fauziah Nawi seakan-akan bertikam lidah secara baik ketika memberikan kritikan persembahan peserta.

Antara kata-kata gurauan dalam sinis yang ditujukan kepada Shamsul oleh Fauziah Nawi adalah: “Hang tak faham, hang pi mana? Orang lain faham, awat hang tak faham pulak?”

Apabila ditanya kepada tuan empunya diri, pemilik nama sebenar Shamsul Azahar Aliddin, 41, ini berkata, dia mengkritik atas dasar pengalaman ketika membuat persembahan di pentas.

Yang pasti, Shamsul akui apa yang membezakan komennya dengan kedua-dua pengkritik itu kerana mereka mempunyai latar belakang sebagai pelakon teater dan sitkom sementara dia pula bermula sebagai stand-up comedian program realiti di TV3, Sinaran Pasport Kegemilangan.

“Saya mengkritik atas dasar pengalaman di atas pentas kerana saya bermula sebagai stand-up comedian dan waktu itu tiada siapa yang memberi komen kepada saya.

“Secara jujurnya, saya mengkritik mereka dengan meletakkan diri saya di tempat mereka.

“Saya akui yang saya juga sama seperti peserta lain ketika mula-mula masuk pertandingan dulu. Jadi, oleh kerana mereka merupakan 12 peserta terbaik daripada lebih 1,000 orang yang melalui ujibakat dulu, sebolehnya saya mahu mereka melakukan yang terbaik juga,” ujar Shamsul positif.

Minggu kedua ini, 12 peserta diberikan tema ‘Azam Baru’ di mana Adam Abdul Karim Zamri (Adam), Aman Shah Asri (Am), Mohammad Amirullah Azmi (Amir), kumpulan Chot yang dianggotai oleh Hazmeer Hassan (Amer) dan Muhd Shaiful Bakri (Epul), LNJ yang dianggotai oleh Afzan Saffuan Ahmad dan Wan Sharizon Rahim, Sepah dianggotai Shamira Muhamad, Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Mohd Noor Murad, Syem atau Shamsir Mohd Shahar dan Talam atau Ahmad Faidz Ahmad Yusoff akan bersaing sesama mereka sebelum melihat siapa yang tersingkir.

Walaupun masih awal untuk menentukan siapakah yang mampu bertahan, Shamsul mengagakkan setiap daripada mereka mempunyai kemampuan untuk bertahan mengikut momentum tersendiri.

“Secara keseluruhan, saya melihat 12 peserta ini adalah yang terbaik dan kami tidak silap memilih mereka. Apa pun, inilah yang dikatakan pertandingan program realiti di mana kita tidak tahu siapa yang bakal terkeluar dahulu kerana semuanya bergantung kepada undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS),” kata Shamsul.

Ketika di akhir program itu pada minggu lalu, Shamsul sempat memberikan pendapat keseluruhannya mengenai mutu persembahan peserta.

"Ada juga yang masih takut-takut lagi. Misalnya, jika peserta pertama menunjukkan persembahan yang bagus, kedua juga bagus tetapi tiba giliran yang ketiga kurang yakin pula.

“Jadi, tiga peserta yang berada pada kedudukan terendah perlu berhati-hati pada masa akan datang," ulasnya mengenai kedudukan Jihan, Yann dan Mat yang berada di tempat tercorot.

Selain bergelar stand up comedian, Shamsul juga merupakan hos program Apa-Apa Aje dan Apa Ke Halnya? di TV3 dan TV9 serta bergelar pelakon dan penyanyi.

Program yang dihoskan oleh Zizan dan Johan ini dinilai 100 peratus melalui undian penonton.

Untuk mengetahui siapakah yang bakal tersingkir pada minggu ini, saksikan Raja Lawak 3, minggu kedua, malam ini, pukul 9 malam di Astro Prima (saluran 105).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bapa Nubhan AF6 meninggal dunia

Artikel Lain