suria

Angelina Jolie lawat sempadan ke Rafah, netizen puji guna pengaruh demi Gaza… “Ketika semua orang hanya memerhati, dia tampil memimpin”

Kehadiran Jolie melawat sempadan lke Rafah menarik perhatian ramai - Foto AFP

BINTANG Hollywood, Angelina Jolie melawat kawasan sempadan Rafah di Mesir pada Jumaat bagi meninjau usaha penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza yang kini dilanda konflik berpanjangan.

Menurut laporan AFP, Jolie, 51, hadir bersama delegasi dari Amerika Syarikat (AS) dan disambut beberapa pegawai serta bekas wakil pihak berkuasa ketika berada di lokasi berkenaan.

Dalam lawatan itu, pemenang Anugerah Oscar itu berbesar hati dapat bertemu sendiri dengan para sukarelawan bantuan kemanusiaan yang bertugas di kawasan sempadan berkenaan.

Jolie ketika menyapa ahli Bulan Sabit Merah - Foto AFP

Jolie ketika menyapa ahli Bulan Sabit Merah - Foto AFP.

Seorang sukarelawan Bulan Sabit Merah turut memaklumkan kepada Jolie, ribuan lori bantuan masih terkandas dan menunggu kebenaran untuk dibenarkan masuk ke Gaza.

Media tempatan melaporkan, kunjungan Jolie yang juga bekas Utusan Khas Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) bertujuan meninjau keadaan rakyat Palestin yang cedera serta dipindahkan ke Mesir, selain melihat secara dekat proses penghantaran bantuan ke wilayah Gaza yang musnah akibat konflik.

Bagaimanapun, setakat ini Jolie dan pihak berkuasa Mesir masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung lawatan tersebut.

Untuk rekod, sempadan Rafah dijadualkan dibuka semula di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober lalu, namun sehingga kini ia masih ditutup.

ARTIKEL BERKAITAN: Angelina Jolie sekali lagi bersuara isu Gaza 

ARTIKEL BERKAITAN: Angelina Jolie dan Brad Pitt akhirnya sah bercerai selepas 8 tahun berpisah

Dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat, Mesir bersama enam negara lain termasuk Arab Saudi menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak Israel sebagai kuasa pendudukan agar segera menarik sekatan terhadap kemasukan dan pengagihan bekalan keperluan asas ke Gaza.

Pada awal Disember lalu, Israel mengumumkan sempadan Rafah hanya akan dibuka bagi membenarkan penduduk keluar dari Gaza, namun Mesir menafikan pihaknya meluluskan langkah tersebut dalam tempoh terdekat.

Jolie yang merupakan antara figura berpengaruh di Hollywood sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Utusan Khas UNHCR pada akhir 2022 selepas lebih dua dekad berkhidmat, dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada isu kemanusiaan secara lebih meluas.

Jolie tidak lokek senyuman sepanjang lawatan di sempadan ke Rafah - Foto REUTERS

Jolie tidak lokek senyuman sepanjang lawatan di sempadan ke Rafah - Foto REUTERS.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen di media sosial, rata-rata netizen memuji tindakan Jolie yang menggunakan pengaruhnya sebagai selebriti berprofil tinggi untuk menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

“Apa yang dia lakukan inilah sepatutnya dilakukan oleh individu berprofil tinggi. Mata dunia sentiasa memandang selebriti.

“Inilah kuasa selebriti yang digunakan untuk kebaikan.

“Dia seorang hero. Ketika semua orang hanya memerhati, dia tampil memimpin," tulis netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain