suria

Buang ego dan cepat minta maaf, itu rahsia rumah tangga Ajay Devgan dan Kajol kekal bahagia

Ajay dan Kajol akan segera minta maaf jika berlaku pergaduhan.

SELAMA 23 tahun mendirikan rumah tangga, Ajay Devgan dan Kajol dilihat antara pasangan contoh yang berjaya mengekalkan kebahagiaan dan keharmonian sebagai suami isteri.

Mengakui ada ketika perkahwinan mereka juga dilanda masalah, Ajay memberitahu dia dan isterinya ada cara tersendiri supaya pergaduhan tidak berlarutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Viral wajah cantik, anak Kajol dan Ajay Devgan tak tunjuk minat jadi pelakon

"Perkahwinan kami bertahan sehingga hari ini walaupun ada ketika melalui pelbagai masalah.

"Pastinya akan ada perselisihan faham antara kami berdua, tetapi harus bijak menguruskannya kerana dua individu tidak akan mempunyai pemikiran yang sama.

"Jika ada sebarang masalah, kami akan berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Kita juga harus faham dan hormati pendapat orang lain.

"Perkara pertama yang harus dilakukan ketika ada masalah, perlu minta maaf dan ketepikan sikap ego kerana ia tidak akan dapat membantu mencari jalan penyelesaian," katanya.

Bapa kepada dua orang anak ini juga memberitahu dia bukanlah seorang yang menunjukkan sifat kasih sayang melalui tindakan fizikal.

"Saya tunjukkan perasaan sayang dengan cara berbeza. Rasa cinta itu saya tunjukkan dengan sikap bertanggungjawab dan ambil berat terhadap keluarga," jelasnya.

Ajay dan Kajol berkahwin pada tahun 1999 dan mereka mempunyai dua orang anak iaitu Nysa dan Yug.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ajay Devgan, Kajol, Pelakon Bollywood

Artikel Lain