suria

4 tahun menanti zuriat, isteri sebak suami tak sempat tatap wajah anak... Sambut Aidilfitri ala kadar, muka bayi iras arwah ubat rindu

Asniah meraikan Syawal tahun ini secara sederhana bersama dua anaknya selepas suaminya (kanan) meninggal dunia Oktober lalu.

SEPATUTNYA Aidilfitri tahun ini yang paling bermakna buat Asniah Abdul Halim dan suaminya kerana dapat meraikannya bersama zuriat yang dinanti-nantikan sejak hampir empat tahun.

Namun tanpa diduga, takdir Allah mengatasi segala-galanya.

Ketika Asniah sarat hamil, suaminya, Mohd Syukri Daudi, 31, dijemput Ilahi akibat jangkitan kuman pada 16 Oktober tahun lalu.

Mengakui masih terkesan dengan pemergian arwah meskipun sudah hampir enam bulan berlalu, Asniah, 30, berkata persiapan menyambut hari lebaran dilakukan secara ala kadar sahaja.

"Saya sebenarnya lebih fokus belanja anak sekolah, lampin serta susu bayi. Tapi Allah hadirkan orang yang sangat baik.

pic 2

Gambar kenangan ketika meraikan Syawal tahun lalu.

"Kenalan di TikTok yang sering mengikuti kisah saya dan support live ketika saya berniaga, hadiahkan baju raya untuk saya dan anak-anak.

"Seumur hidup saya, inilah kali pertama dapat tiga pasang baju raya. Alhamdulillah, rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk," ujar ibu kepada dua cahaya mata termasuk seorang anak perempuan berusia lapan tahun hasil perkahwinan terdahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami meninggal dunia sebulan sebelum bayi lahir, isteri baru sedar arwah bagi ‘hint’... Yakin Allah dah susun cantik-cantik

Mengimbas kembali kenangan meraikan Aidilfitri bersama suami, Asniah atau lebih dikenali sebagai Yoona di TikTok berkata, arwah merupakan individu yang paling sibuk melakukan persiapan untuk menyambut hari raya.

"Arwah suami bekerja sebagai welder, pendapatannya tidak tetap. Biarpun tiada gaji tetap bulanan, dia berusaha untuk sediakan baju baharu, biskut raya dan barang dapur.

"Raya tahun lalu, dia jual peralatan kerjanya untuk dapatkan duit persediaan raya. Bagi dia, anak dan isterinya perlu sambut raya macam orang lain. Walaupun anak tiri, tapi dia sangat rapat dengan anak perempuan saya.

"Sampai sekarang, anak saya selalu tanya 'Bapa balik ke tak? Bolehkah dia balik lagi?'. Betapa rapatnya mereka sampai anak saya demam rindukan arwah," katanya yang menetap di Kudat.

Raya tahun lalu, dia jual peralatan kerjanya untuk dapatkan duit persediaan raya. Bagi dia, anak dan isterinya perlu sambut raya macam orang lain.

ASNIAH ABDUL HALIM

Syawal kali ini ternyata mengundang sebak Asniah kerana dia tidak dapat menziarahi pusara arwah suaminya di Sandakan kerana berdepan pelbagai kekangan terutamanya kewangan.

"Jarak Kudat ke Sandakan bukan dekat, hampir 10 jam perjalanan. Dengan dua anak yang masih kecil termasuk bayi baru berusia lima bulan, susah untuk saya naik pengangkutan awam.

"Nak sewa kereta, saya belum mampu. Tapi saya akan usahakan untuk ke sana juga nanti. Ketika ini, saya hanya mampu kirim doa dari kejauhan. Memang rindu.

"Kalau ke sana walaupun 'rumahnya' dah lain, sedikit sebanyak terubat rindu kami anak beranak. Sekarang ni hanya tatap muka baby saja untuk ubati kerinduan sebab wajahnya seiras arwah," ujarnya lagi.

pic 3

Anak bongsu Asniah hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham Mohd Syukri kini berusia lima bulan.

Asniah yang mencari rezeki dengan berniaga menerusi platform di TikTok, mengucapkan terima kasih kepada warga maya yang tidak henti-henti memberi kata-kata semangat dan sokongan kepadanya.

"Buat sahabat di TikTok yang selalu bagi kata-kata semangat, doa, tanya khabar... terima kasih menjadi tulang belakang penguat semangat.

"Dia hadirkan ujian, Dia ringankan juga perjalanan hidup saya," akhirinya.

Untuk rekod, kisah Asniah pernah disiarkan di mStar pada Oktober 2023 mengenai dia diuji kehilangan suami ketika sarat mengandung.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain